Kos pemasangan CRS membebankan ibu bapa. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) diminta mengadakan perbincangan dengan persatuan pengeluar dan penjual kenderaan serta  pembuat dan pengimport kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) supaya mengurangkan kos jualannya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan amat prihatin dengan kos pembelian CRS yang dihadapi oleh ibu bapa.

Katanya, kerajaan sedar wujud kekangan untuk memperluaskan pelaksanaan peraturan CRS kepada kenderaan perkhidmatan awam seperti bas henti-henti, bas ekpres, teksi dan kenderaan e-hailing di atas faktor praktikaliti.

“Sebagai contoh, CRS mungkin tidak sesuai untuk dipasang di atas tempat duduk di dalam bas juga kekangan menyediakan peralatan CRS yang bersesuaian untuk satu kanak-kanak oleh perkhidmatan teksi dan e-hailing, mengambil kira saiz kanak-kanak yang berbeza-beza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Libaran-Bersatu), Datuk Zakaria Mohd Edris yang meminta kementeran menyatakan sejauh mana tahap pelaksanaan dasar penggunaan CRS yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu dan adakah kementerian bercadang untuk meluaskan pelaksanaannya ke sektor pengangkutan awam.

Mengulas lanjut, Ka Siong menjelaskan, bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, penggunaan CRS adalah digalakkan dan penyedia perkhidmatan awam digalakkan untuk menyediakan CRS universal bagi kegunaan pelanggan.

Ujarnya, pihaknya juga telah berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai pendekatan terbaik mengenai pelaksanaan dasar CRS.

Katanya, semua berpandangan pihak kementerian pengangkutan perlu berbalik kepada prinsip asal dalam isu keselamatan melibatkan penumpang dan kanak-kanak di dalam sesuatu kenderaan.

“Kementerian akan merangka cara penyelesaian jangka panjang yang dapat melindungi tahap keselamatan kanak-kanak tanpa membebankan rakyat, khususnya ibu bapa.

“Kementerian turut akan terus meneliti maklum balas daripada orang ramai, mengenai piawaian berat, tinggi dan umur kanak-kanak yang perlu menggunakan CRS agar ianya setara dan relevan dengan standard keselamatan yang diterima pakai di peringkat antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette