KUALA LUMPUR – Pada suku kedua tahun ini, imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) terus mencatat lebihan RM7.6 bilion walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global dan penularan berterusan Covid-19.

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan CAB disumbangkan terutamanya oleh eksport bersih barangan sebanyak RM25.9 bilion dan defisit lebih rendah dalam Pendapatan Sekunder pada RM1.9 bilion.

Import barangan turun pada kadar yang lebih pantas berbanding dengan penurunan eksport, mendorong kepada prestasi yang baik dalam keseluruhan akaun barangan.

Di samping itu, Pendapatan Sekunder mencapai defisit terendah kerana jumlah pekerja asing menurun pada suku ini yang menyebabkan kiriman wang ke luar negara yang lebih rendah.

Bagi separuh tahun pertama 2020, CAB berkurang kepada RM17.1 bilion berbanding RM31.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sebaliknya, akaun Perkhidmatan mencatatkan defisit tertinggi yang pernah direkodkan pada RM12.5 bilion.

Menurutnya, Komponen Perjalanan yang merupakan tulang belakang akaun Perkhidmatan, terjejas teruk pada suku ini dengan mencatatkan defisit RM3.1 bilion berikutan penutupan sempadan negara bagi warga asing dan sekatan pergerakan merentasi sempadan.

Selain itu, eksport penumpang udara jatuh mendadak kepada RM30.0 juta daripada RM2.4 bilion pada suku kedua tahun lalu.

Sementara itu, komponen telekomunikasi, komputer dan maklumat menunjukkan prestasi yang baik pada suku ini di mana eksport meningkat kepada RM3.3 bilion disebabkan lonjakan permintaan antarabangsa terhadap perkhidmatan rangkaian tetap dan mudah alih yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi tempatan.

“Akaun kewangan terus mencatat aliran keluar bersih RM19.8 bilion pada suku kedua tahun ini. Penyumbang utama adalah Pelaburan lain dengan aliran keluar bersih RM41.3 bilion daripada aliran masuk bersih RM22.1 bilion pada suku pertama 2020. Ini terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank bersih ke luar negara oleh sektor kewangan domestik,” katanya.

Sementara itu, Pelaburan Portfolio mencatat aliran masuk bersih yang lebih tinggi disebabkan oleh penerbitan bon oleh syarikat domestik.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) berkurang kepada RM2.2 bilion daripada RM6.4 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dalam sektor pembuatan.

FDI pada suku ini dicatatkan terutamanya dari Netherlands, British Virgin Islands dan Singapura dalam perlombongan dan pengkuarian, kewangan dan utiliti.

Selain itu, Pelaburan Langsung Di Luar Negeri (DIA) berkembang kepada RM3.5 bilion dan destinasi utama DIA adalah Indonesia, Canada dan United Kingdom, disalurkan ke Kewangan, Pembuatan dan Maklumat dan komunikasi.

Mohd Uzir menambah, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) mencatat kedudukan aset bersih yang lebih tinggi iaitu RM57.3 bilion daripada RM27.1 bilion pada suku sebelumnya.

Rizab antarabangsa berada pada RM443.0 bilion berbanding RM440.0 bilion pada suku sebelumnya. – MalaysiaGazette