16 lagi PATI yang ceroboh masuk ke dalam Malaysia menerusi perairan Johor berjaya ditangkap dalam dua siri tangkapan Op Benteng pada malam semalam dan awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 16 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menceroboh masuk negara menerusi perairan Johor ditangkap pasukan tentera.

Kesemua suspek berjaya ditahan dalam dua operasi.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak, kejadian tersebut berlaku di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) pada 17 dan 18 Ogos 2020 antara jam 11 malam dan jam 7.45 pagi.

Hasil soal siasat dan maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi membawa kepada penahanan tiga orang disyaki pengangkut kumpulan PATI dengan kira-kira 60 pendatang asing telah diturunkan di sekitar Ladang Sungai Tengah, Johor.

“Bertindak daripada maklumat tersebut, pasukan 1 RRD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah melaksanakan penjejakan dan penggeledahan ke lokasi pada semalam sekitar jam 10.30 malam.

“Hasil pemeriksaan seramai enam orang PATI (Tangkapan Kering) telah berjaya ditahan melibatkan lima lelaki dan seorang wanita warganegara Indonesia.

“Kesemua suspek berusia sekitar 18 hingga 40 tahun dengan keseluruhan nilai rampasan bernilai RM18,440.70 melibatkan wang tunai RM14,571.40 dan IR13,451,000 (RM3,869.30),” kata kenyataan itu.

Oada operasi kedua, Ketua Kompeni B telah mengaturgerakkan kumpulan Quick Reaction Force (QRF) ke Ladang Sungai Tengah kira-kira jam 6 pagi untuk membuat rondaan di sekitar kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian saki baki PATI yang berjaya menceroboh masuk ke dalam negara.

16 PATI Indonesia yang ditangkap dalam dua siri tangkapan OP Benteng di perairan Johor oleh tentera dinaikkan dalam trak untuk proses penyerahan kepada Imigresen dan ujian saringan Covid-19 pagi tadi,.

Tambah kenyataan itu, semasa rondaan, beberapa kelibat orang yang dipercayai PATI dilihat sedang bersembunyi di dalam kawasan hutan Ladang Sungai Tengah, kira-kira 150 meter dari lokasi tangkapan malam semalam.

Menurutnya, kumpulan QRF seterusnya mengaturgerak rancangan serbuan dan berjaya menahan 10 orang PATI.

“Sembilan orang daripada PATI berkenaan baru sahaja mendarat masuk ke Malaysia (Tangkapan Basah) dan seorang sedang menunggu bot untuk pulang ke Indonesia (Tangkapan Kering).

“Nilai rampasan berjumlah RM4,166.30 melibatkan wang tunai RM3,250.00 dan IR3,197,500 (RM906.30) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dalam kedua-dua tangkapan adalah bernilai RM22,606.50.

“Kesemua PATI Indonesia berkenaan telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan laporan tangkapan terhadap kesemua PATI telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai serta diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas dilibatkan dalam ujian saringan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette