Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd.Su’ud

KUALA LUMPUR – Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud sebagai Presiden Universiti Multimedia (MMU) yang baharu, berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Beliau menggantikan Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, yang menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden universiti pada Februari 2020.

Pelantikan Prof. Dato’ Dr. Mazliham sebagai Presiden MMU yang kelima adalah bertepatan bagi MMU untuk menguatkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pendidikan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, terutama dalam bidang inovasi dan keusahawanan.

Ia adalah selari dengan aspirasi TM untuk membina ekonomi digital melalui kecemerlangan pendidikan bakat tempatan khusus dalam bidang teknologi maklumat, komunikasi dan multimedia terutamanya pada era Revolusi Industri 4.0.

Beliau berpengalaman luas selama hampir 25 tahun dalam bidang pendidikan berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi, serta pendidikan tinggi berteraskan teknologi pada peringkat nasional dan antarabangsa, suatu keperluan bagi memacu MMU ke tahap yang lebih tinggi, terutama bagi mempersiapkan pemimpin masa hadapan dan pekerja berkemahiran tinggi untuk Malaysia Digital.

Sepanjang perjalanan kariernya, beliau telah memegang pelbagai jawatan serta meraih pelbagai kejayaan termasuk menerajui Higher Technical and Vocational Education & Training (HTVET), satu inisiatif yang dibangunkan untuk meningkatkan kualiti modal insan yang mengikuti latihan vokasional dan teknikal.

Dr. Mazliham memperoleh Ph.D. dalam Kejuruteraan Komputer daripada Université de La Rochelle, Perancis pada tahun 2008, dengan kelas Sangat Terpuji.

Sebelum itu, beliau mendapat Sarjana Sains (Elektronik, Teknik Elektro & Automasi) daripada Université de Montpellier
2 – Sciences et Techniques du Languedoc, Montpellier, Perancis, diikuti pasca Sarjana dalam bidang Elektronik setahun kemudian.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Elektronik, Teknik Elektro & Automasi daripada institut yang sama.

Pada tahun 2015, beliau telah dikurniakan pingat Chevalier de I’Ordre national du Mérite oleh Kerajaan Perancis, sebagai penghargaan kepada individu yang memberi sumbangan penting
kepada negara tersebut.- MalaysiaGazette