Mohd Redzuan Md Yusof

KUALA LUMPUR – Majoriti tipis yang diperolehi kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 tidak mendatangkan masalah kepada kerajaan.

Malah Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata, majoriti tipis yang diperolehi semalam adalah sesuatu yang baik kepada kerajaan.

“Tidak mendatang masalah (peroleh majoriti tipis) kepada kita.

“Majoriti tipis bagi saya indikasi bagus sejauh mana kebebasan demokrasi ditonjolkan.

“Ia sebuah pandangan yang mendalam. Saya amat gembira untuk melihat kepada keputusan undian itu yang kita (PN) masih mendapat majoriti tipis sebagai Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya nampak hari ini kepimpinan beliau berlaku peningkatan sokongan jelas daripada rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, kerajaan pimpinan Muhyiddin memperoleh majoriti tipis dengan 111 undi menyokong dan 106 ahli Parlimen menolak, lima lagi wakil rakyat tidak hadir.

RUU itu dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu.

Susulan itu, Dewan Rakyat menerima RUU itu untuk perbelanjaan perkhidmatan tahun ini daripada Kumpulan Wang Disatukan sebanyak RM7,184,083,200.

Ini berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baru dan pembubaran sebuah kementerian sejajar pembentukan Kabinet baru pada 10 Mac lalu. – MalaysiaGazette