Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi parti wajar memperhalusi dan mempertimbangkan suara hati akar umbi sebelum memuktamadkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional (MN).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, daripada maklum balas ahli-ahli akar umbi, sekurang-kurangnya ada lima faktor utama yang memperlihatkan fenomena kemarahan dan keresahan ahli akar umbi.

Pertama, kebanyakan pemimpin Bersatu dianggap mengkhianati perjuangan apabila 15 Ahli Parlimennya yang menang atas penat lelah jentera parti UMNO di peringkat akar umbi telah melompat parti.

Kedua, penubuhan Bersatu sendiri pada peringkat awal sebelum PRU14 adalah serpihan UMNO yang menjadi punca perpecahan orang Melayu sehingga runtuhnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah.

Ketiga, kenyataan-kenyataan berupa penghinaan terhadap UMNO oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sendiri begitu dalam kesannya yang amat mengguris perasaan ahli akar umbi.

Keempat, kedudukan Bersatu yang dilihat berpecah kepada beberapa kumpulan mencetuskan persepsi ramai bahawa parti Bersatu hanya mahu menyelamatkan kepimpinan tertentu berbanding agenda penyatuan ummah dan perjuangan membela rakyat.

Dan kelima, pembentukan kerjasama dengan Pas melalui proses yang panjang termasuk lebih 700 siri ceramah penyatuan ummah di peringkat akar umbi sehinggalah dibawa ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO untuk dibahaskan dan dipersetujukan bersama.

Keadaan itu berbeza dengan penyertaan Bersatu yang dilihat oleh ahli akar umbi semacam suatu yang terdesak dan terburu-buru.

Oleh itu, kata Asyraf pandangan-pandangan ini perlu diperhalusi dan didengari oleh kepimpinan parti sebelum membuat keputusan menerima Bersatu ke dalam MN.

“Saya khuatir penyertaan Bersatu tanpa sokongan penuh ahli-ahli akar umbi akan meruntuhkan matlamat asal yang telah terbina dan terukir hasil satu muafakat yang utuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.