KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh per pekerja Malaysia merosot 16 peratus kepada RM19,455 per pekerja pada suku tahun kedua 2020 dengan jumlah jam bekerja menurun kepada 6.2 bilion daripada purata 8.5 bilion jam, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Di Malaysia, PKP yang bermula 18 Mac 2020 dan pelanjutan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah menyebabkan penutupan sementara perniagaan, serta prosedur operasi standard yang harus dipatuhi bagi meneruskan perniagaan mereka telah menghadkan pekerja untuk bekerja secara optimum.

Justeru itu, senario pada ST2 2020 merupakan tempoh yang ekstrem untuk dibandingkan dengan data terdahulu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, nilai ditambah per pekerja pada suku ini jatuh RM19,455 per pekerja berbanding purata sebanyak RM22,000 per pekerja setiap suku tahunan.

Pekerja yang direkodkan berjumlah 14.9 juta orang (suku tahun pertama (ST1) 2020: 15.2 juta orang) jatuh 1.3 peratus berbanding pertumbuhan positif 1.6 peratus pada ST1 2020.

Prestasi yang lembap bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja berikutan pengekalan pekerja, yang mana golongan ini mempunyai pekerjaan tetapi masih belum bekerja.

”Seperti yang dinyatakan sebelum ini dalam Laporan Survei Tenaga Buruh ST2 2020, terdapat 2.7 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu atau tidak dapat bekerja dari rumah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau menambah, jumlah jam bekerja pada suku ini jatuh 28.2 peratus (ST1 2020: -1.4%) dengan jumlah 6.2 bilion jam, lebih rendah daripada purata 8.5 bilion jam bagi setiap suku tahunan.

Purata jam bekerja pada ST2 2020 hanya 40.5 jam seminggu berbanding 44.3 jam seminggu pada suku sebelumnya menyebabkan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja meningkat 15.6 peratus dengan nilai RM46 per jam (ST1 2020: RM40 per jam).

Pertumbuhan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja yang tinggi adalah berikutan kejatuhan jumlah jam bekerja yang lebih berbanding penguncupan nilai ditambah.

Dari perspektif sektor ekonomi, pembinaan mencatatkan kejatuhan terbesar produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja dengan negatif 40.8 peratus (ST1 2020: -5.3%).

Ini diikuti oleh sektor pembuatan (-17.3%), perlombongan dan pengkuarian (-17.1%) dan perkhidmatan (-15.6%).

Pertanian merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif pada suku tahun ini pada 1.5 peratus, pulih daripada negatif 8.9 peratus.

Dari segi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, tiga sektor mencatatkan pertumbuhan dua digit pada suku ini iaitu sektor perkhidmatan (17.2%), pertanian (16.1%) dan pembuatan (15.2%), manakala perlombongan dan pengkuarian tumbuh 6.9 peratus.

Sementara itu, pembinaan adalah satu-satunya sektor yang merosot pada ST2 2020 dengan kadar 3.2 peratus selepas mencatatkan negatif 1.6 peratus pada
ST1 2020.

Di peringkat global, negara yang melaksanakan penyekatan bagi membendung wabak ini seperti Singapura dan United Kingdom turut mengalami kesan yang sama terhadap produktiviti buruh.

Kedua-dua negara ini khususnya mencatatkan kejatuhan nilai ditambah per pekerja yang besar pada ST2 2020 dengan masing-masing mencatatkan kadar negatif 11.6 peratus dan 22.0 peratus.

Mohd Uzir berkata, secara prinsipnya, produktiviti buruh mempengaruhi pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita, yang mana kejatuhan pertumbuhan produktiviti buruh akan mengurangkan KDNK dan PNK per kapita.

Justeru itu, pada ST2 2020 PNK per kapita negara adalah RM36,493 berbanding purata suku tahunan RM45,000 bagi lima suku lepas berturut-turut. – MalaysiaGazette