Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.
Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Siri video ‘Kakak Kondom’ terbitan Yayasan Aids Malaysia disifatkan penerbitan berunsur jelik seolah membudayakan hubungan seks sebelum berkahwin selain menimbulkan kebimbangan awam.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah SRIKANDI Malaysia, Datuk Norasyikin Abd Ghani terkejut melihat perbualan terbuka mengenai gaya seks bebas dalam kalangan remaja dalam video itu.

Katanya, kandungan video itu menimbulkan kebimbangan awam khususnya ibu-bapa yang sepatutnya diambil tindakan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Jika isu pandemik Covid-19 pihak berkuasa boleh terus mengambil tindakan undang-undang kerana menimbulkan kebimbangan kenapa tidak dalam isu ini yang jauh lebih besar mendatangkan kebimbangan awam.

“Ia melanggar prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan ketatasusilaan, bertentangan dengan nilai budaya ketimuran masyarakat kita.

“Walaupun penerbitan video itu tujuannya untuk menghentikan isu pembuangan bayi namun ia tidak relevan, sebaliknya ia kelihatan menjadikan seks terlarang sebagai satu budaya dalam kalangan remaja.

“Jika dilihat di negara Barat, isu pembuangan bayi tidak berlaku walaupun mereka memberi pendidikan seks sejak awal persekolahan, melancarkan kempen seks selamat secara besar-besaran.

“Ia jelas menunjukkan isu pembuangan bayi dan kaedah seks secara selamat dua isu berbeza,” katanya.

Tambah Norasyikin, warga asing buang bayi kerana mereka tidak menggugurkan kandungan peringkat awal kerana masalah kewangan.

Katanya, mereka membuang bayi setelah dilahirkan juga kerana masalah kewangan, tidak tahu tempat penerimaan bayi dan malu kepada masyarakat.

“Kempen yang sepatutnya dibuat bukanlah kempen penggunaan kondom tetapi kempen kesedaran kesan terhadap masa depan diri dan bayi jika terlanjur.

“Remaja perlu diberi kesedaran bahawa bayi berkenaan akan diberi status tidak sah taraf dimana masa depannya hancur dan bakal dihina sepanjang hayat, implikasi perkahwinan serta kematiannya.

“Kesedaran berkenaan mendidik generasi muda agar lebih berwaspada dalam meniti kehidupan kerana sebagai ibu bapa kita berdepan ancaman dunia di hujung jari yang lebih besar implikasinya,” katanya.

Terdahulu tular video ‘Kakak Kondom’ terbitan Yayasan Aids Malaysia (MAC) dibawah naungan Marina Mahathir untuk mendidik dan memberi kesedaran tentang kesihatan seksual dan reproduktif dikecam netizen kerana didakwa tidak sesuai dengan norma masyarakat Malaysia.

Seorang pengamal perubatan, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, video yang dikongsi di YouTube Yayasan Aids Malaysia itu sepatutnya mendidik masyarakat terutama anak muda untuk menjauhkan perbuatan seks sebelum berkahwin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast