Gambar hiasan

JOHOR BARU- Kerajaan Johor sedang meneroka jalan untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung masalah ketidakseimbangan pendapatan di negeri itu.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Ir Hasni Mohammad, sebanyak 170,684 isi rumah di negeri itu dikategori sebagai miskin berasaskan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan berbeza.

Dari jumlah tersebut, sebanyak 34,392 isi rumah berada dalam kategori miskin mutlak manakala 1,759 berada dalam kategori miskin tegar dan 134,533 isi rumah berada dalam kategori miskin relatif.

Untuk rekod, kategori miskin mutlak adalah pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat perlindungan.

Sementara miskin relatif ialah pendapatan isi rumah berada beberapa peratusan tertentu di bawah pendapatan penengah isi rumah dan keadaannya akan berubah mengikut pertumbuhan ekonomi.

Jelas Hasni, memacu kemakmuran menerusi Islam menjadi wawasan dan misi baharu kerajaan negeri dalam membangunkan Johor menerusi amalan kebaikan yang inklusif serta mengukuhkan ajaran Islam di negeri itu.

“Islam Memacu Kemakmuran adalah idea terbesar kami untuk meneroka Islam dan ajaran-ajarannya sebagai sumber pembangunan, kejayaan dan daya saing.

“Salah satu isu yang boleh kita terokai adalah mencari penyelesaian terbaik untuk ketidakseimbangan pendapatan di negeri ini yang mana kira-kira 34,392 isi rumah berada dalam kategori miskin mutlak, 1,759 miskin tegar dan 134,533 adalah miskin relatif,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di sini hari ini.

Tambahnya, pembangunan fizikal tanpa pembangunan rohani tidak mencerminkan pencapaian sebenar kemakmuran.

“Kita perlu menggalakkan umat Islam untuk membayar zakat, infaq dan menderma.

“Kita mahu orang ramai tahu, sentiasa ada golongan yang memerlukan dan amalan baik itu bukan hanya di bulan Ramadan sahaja,” katanya lagi.- MalaysiaGazette