Pengarah Operasi dan Teknikal Mindmatics, Dr. Abdul Rahim Mat Sidek (kiri) bersama pasukannya di dalam PRIMA dan sistem CS3.

KUALA LUMPUR – Mindmatics Sdn. Bhd. (Mindmatics), sebuah syarikat pembangunan teknologi tempatan melancarkan dua produk sistem pengurusan dan kawalan operasi digital baharu yang dikenali sebagai CS3 dan PRIMA.

PRIMA merupakan sistem kabin mudah alih manakala sistem CS3 itu dapat membantu pelbagai pihak terutamanya unit berunifom seperti tentera, pasukan bomba, polis dan pihak berkuasa lain ketika menjalankan tugasan harian atau operasi khas seperti pengurusan bencana serta operasi mencari dan menyelamat.

Direka cipta dan dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga pakar teknologi tempatan, sistem itu berkeupayaan untuk berhubung dengan anggota di lapangan melalui pelbagai platform komunikasi serta peralatan perisikan dan pengawasan.

Pengarah Operasi dan Teknikal Mindmatics, Dr. Abdul Rahim Mat Sidek berkata, sistem itu juga boleh diguna pakai sebagai platform perhubungan langsung antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat penting seperti kerosakan fasiliti awam, jalan berlubang mahupun insiden kemalangan.

“Maklumat berbentuk teks, visual, video, suara dan lokasi boleh dikongsikan secara mudah menggunakan telefon bimbit.

“CS3 juga dilengkapi dengan keupayaan sistem pengelasan dan analisa maklumat, pengurusan peta, pelaporan digital dengan keupayaan untuk disepadukan dengan teknologi AI dan Big Data” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahim, sistem CS3 juga sesuai diguna pakai oleh badan korporat dengan operasi lapangan yang menyeluruh seperti bidang telekomunikasi, tenaga, perladangan, logistik, pengangkutan, peruncitan mahupun pelancongan.

Menyedari keperluan pihak berkuasa dalam menjalankan tugasan kritikal seperti pengurusan bencana atau operasi mencari dan menyelamat, Mindmatics juga memperkenal sistem Kabin Mudah Alih PRIMA.

Abdul Rahim berkata, kabin yang direka bentuk dan dibangunkan melalui piawaian antarabangsa berkenaan boleh dibawa ke lokasi kejadian dan bertindak sebagai pusat operasi.

“Operasi pengurusan bencana seperti banjir besar atau operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai pihak serta ramai anggota. Dengan adanya kabin mudah alih yang dilengkapi dengan sistem pengurusan ‘perintah & kawalan’ operasi digital CS3, pihak terbabit mampu mengendalikan operasi dengan lebih bersepadu dan berkesan,” katanya lagi.

Mindmatics menyasarkan kedua-dua produk CS3 dan PRIMA yang
dibangunkan dengan mengambil kira keperluan dan standard operasi tempatan mampu menembusi pasaran negara serta ASEAN.- MalaysiaGazette