Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Thiban Subbramaniam.

KUALA LUMPUR – Sememangnya di kala rakyat sengsara berikutan kehilangan kerja dan punca pendapatan termasuk golongan muda, ada pula pemimpin politik menggunakan surat sokongan cuba melobi jawatan tertentu untuk kepentingan sendiri.

Lagi mengecewakan apabila Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham telah meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri memohon anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad.

Itu kata-kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subbramaniam berhubung  sokongan beliau terhadap surat permohonan Ikmal Hisham kepada Ismail Sabri yang tular di media sosial ketika ini.

“Anak muda sedang sengsara, hilang punca pendapatan. Timbalan Menteri pula boleh senang-senang melobi jawatan besar untuk anaknya daripada Menteri? Mana integriti kerajaan PN ini.

“Menteri juga sudah mengaku kesahihan surat bertarikh 5 Jun itu, itupun selepas kecoh di media sosial. Saya juga telah teliti surat tulis tangan Menteri Pertahanan yang telah di minit kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan mengatakan beliau bersetuju dengan cadangan itu.

“Jelas sekali, terang lagi bersuluh wujudnya salah guna kuasa oleh kedua-dua Menteri ini yang cuba menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi, walaupun ada pula dakwaan tiada tindakan susulan, itu hanya gimik.

“Kata Ismail Sabri tiada tindakan susulan kerana kononnya bimbang akan berlakunya nepotisme hanya kata-kata untuk menutup isu ini yang kini sudah viral. Hakikatnya, ini bukanlah sesuatu yang kita boleh pandang ringan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Thiban lagi, seandainya Ismail Sabri mahu melawan nepotisme sepatutnya surat sokongan itu tidak patut dilayan mahupun diminitkan.

“Persoalan sejauh mana kesungguhan dan keikhlasan Menteri PN ini memerangi salah guna kuasa serta nepotisme walhal sudah minitkan surat kepada LTAT dengan menyokong untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Pemuda Bersatu yang baru dipilih, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkempen untuk mengembalikan amalan surat sokongan semasa kempen pemilihan ARMADA yang juga tular di media sosial.

“Pada masa sama, Ketua Pemuda UMNO pula mengecam tindakan itu dengan menyatakan amalan surat sokongan sepatutnya tidak menjadi budaya dalam kerajaan mereka, jadi apa cerita?

“Apakah tindakan susulan? Rakyat menanti, janganlah hanya retorik sahaja,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya beri sokongan tetapi tak melantiknya – Ismail Sabri

Terdahulu Ismail Sabri sudah menjelaskan, beliau menyokong permohonan itu kerana anak timbalan menteri terbabit adalah seorang graduan dalam bidang kejuruteraan awam dan peniaga yang berjaya, seterusnya berpotensi membantu syarikat farmaseutikal berkenaan.

Kata beliau, walaupun permohonan itu mendapat sokongan beliau, namun difahamkan pihak LTAT sebagai pemilik syarikat farmaseutikal itu tidak melantik anak timbalan menteri berkenaan.

“Saya tidak campur tangan daripada segi pelantikan. Itu kuasa LTAT, jadi surat (permohonan sokongan) setakat surat,” katanya.

Beliau turut memuji timbalannya kerana tidak menyalahgunakan kuasa dengan secara terus mengajukan surat permohonan pelantikan anak beliau kepada LTAT. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangan salah guna kepala surat rasmi kerajaan untuk urusan keluarga – Annuar

1 Komen

  1. Ketua jabatan dan memteri2 janganlah buat kerja2 macam ni lagi. Rasa malulah sikit dan punya pride/integriti. Tak takut pada Allah ke?

Comments are closed.