Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) mengatakan sesuatu kepada calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz pada Program Santai bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Bangunan UMNO Bahagian Tanjong Malim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Keikhlasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu diragui sepanjang berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ahli-ahli parti itu sentiasa komited walaupun terdapat usaha pelbagai pihak mengganggu gugat kesepaduan dalam kalangan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, senario itu menunjukkan ahli Bersatu sudah menunjukkan kematangan dalam mencari kesepakatan bersama BN.

“Saya amat gembira walaupun sebelum ada usaha daripada pelbagai pihak yang hendak menujukkan kesepaduan di kalangan komponen PN yang usik-usik, tapi nampak gaya ahli-ahli Bersatu di Tanjung Malim dan Perak sudah matang.

“Kami ikhlas nak membantu dalam kesepakatan dalam PN dan keikhlasan itu kita tunjukkan dalam ketika bekerja.

“Saya nampak Bersatu Bahagian Tanjung Malim komited dalam berkempen malahan kepimpinan dari bahagian lain di Perak dan Selangor yang turut membantu. Dari pihak kita, tiada masalah dan kita bantu mana yang boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Media N58 Slim di sini hari ini.

Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) mengatakan sesuatu kepada calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz pada Program Santai bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Bangunan UMNO Bahagian Tanjong Malim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2020.

Turut hadir dua menteri Kabinet yang juga ahli baharu Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Abdullah.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). – MalaysiaGazette