Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV), Datuk Haris Fadzilah Hassan ketika hadir pada sidang media Laporan Kewangan Suku Kedua Tahun 2020 di Wisma FGV, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. menjangkakan trend harga minyak sawit mentah (MSM) menyusut pada separuh kedua tahun ini kepada RM2,400 hingga RM2,600 satu tan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Haris Fadzilah Hassan, harga semasa yang berlegar sekitar RM2,800 ke atas tidak kekal lama.

Jelasnya, harga MSM yang mahal pada suku kedua dan ketiga tahun ini disebabkan China dan India melakukan penyimpanan semula.

“Dagangan dengan China dan India merupakan faktor utama yang menyebabkan harga MSM meningkat tetapi kami menjangkakan permintaan akan lemah sedikit pada suku kedua yang mana kita akan melihat harga yang lebih sederhana daripada sekarang,” katanya semasa sidang media selepas membentangkan prestasi suku kedua FGV di sini hari ini.

Menyentuh mengenai pekerja asing terutamanya peraturan baharu yang dikenakan kerajaan, Haris Fadzilah berkata, FGV bersyukur kerana tidak terjejas akibat kekangan berkenaan kerana telah memberi fokus untuk mengurangkan pergantungan buruh asing sejak tahun lepas.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami telah meminta permit pekerja-pekerja asing yang hampir tamat untuk dilanjutkan.

“Tambahan pula, pintu-pintu sempadan ditutup menyebabkan mereka tidak boleh pulang ke negara masing-masing.

“Tetapi apabila sempadan mula dibuka nanti, mereka terpaksa pulang ke negara masing-masing dan ini menyebabkan FGV telah bersiap sedia dengan memberi fokus kepada penggunaan mesin bagi mengurangkan pergantungan kepada buruh asing,” katanya.

Menurut Haris, FGV memperuntukkan RM36 juta perbelanjaan modal bagi tujuan tersebut pada tahun ini manakala sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

FGV mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM20.55 juta bagi suku kedua 2020 berbanding kerugian bersih RM52.2 juta tempoh sama tahun lalu.

Prestasi positif itu didorong oleh operasi peladangan kelapa sawit yang lebih baik.

Perolehan juga meningkat kepada RM3.29 bilion berbanding RM3.28 bilion berbanding tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Masa syarikat perladangan TH nak kena jual dulu ada wat tak benda2 yg kena pk sikit mcm ni…

Comments are closed.