Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM129.2 juta bagi suku pertama tahun ini yang  berakhir 31 Mac 2024 (1Q2024).

Peningkatan itu mencerminkan kenaikan ketara sebanyak 9.4% berbanding tempoh sama pada 2023, seterusnya mempamerkan daya tahan dan keupayaan kumpulan dalam mengemudi dinamik pasaran yang berkembang.

Prestasi tersebut diterjemahkan kepada EPS sebanyak 5.70 sen dan ROE bersih tahunan 7.7%.

Sebahagian besar peningkatan keuntungan bersih dipacu oleh pendapatan bersih lebih tinggi dan peruntukan bersih lebih rendah untuk rosot nilai ke atas pembiayaan.

Peningkatan dalam pendapatan bersih kumpulan adalah disebabkan terutamanya oleh peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih, yang mengukuh sebanyak 5.4% kepada RM528.9 juta, didorong oleh pertumbuhan tahun ke tahun dalam sekuriti pembiayaan dan pelaburan.

Kenaikan itu membolehkan peningkatan 8 mata asas (bps) dalam margin pendapatan bersih (NIM), mencecah 2.14% untuk 1Q2024 berbanding 2.06% yang dicatatkan pada 1Q2023.

Bagaimanapun, pendapatan bukan berasaskan dana kumpulan menurun sebanyak RM16.5 juta atau 15.6%, berikutan pendapatan pelaburan yang lebih rendah dalam tempoh tinjauan.

Peruntukan bersih untuk rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan kumpulan meningkat sebanyak 31.8% kepada RM42.3 juta berbanding tempoh sama pada 1Q2023.

Jumlah overhed untuk 1Q2024 meningkat 4.1% kepada RM371.3 juta berbanding 1Q2023 seiring pelaburan kumpulan dalam inisiatif modal insan, digital dan teknologi.

Setakat 31 Mac 2024, jumlah aset kumpulan berada pada RM91.0 bilion, didorong oleh pertumbuhan sekuriti pembiayaan dan pelaburan, dan telah diimbangi oleh dana tunai dan dana-dana jangka pendek yang lebih rendah.

Manakala aset bersih sesaham bernilai RM3.29.

Pembiayaan kasar meningkat 2.4% y-o-y kepada RM67.8 bilion, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan berjumlah RM76.4 bilion.

Akaun pelaburan semasa dan simpanan serta transaksi (CASATIA) kekal teguh, berjumlah RM30.6 bilion pada akhir Mac 2024, membentuk 40.1% daripada jumlah akaun deposit pelanggan dan pelaburan.

Nisbah yang sihat menekankan amalan pengurusan kecairan berhemat dan keupayaan Kumpulan untuk memenuhi keperluan kewangan asas pelanggannya yang pelbagai.

Setakat 31 Mac 2024, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 0.95% dan kekal di bawah purata industri sebanyak 1.62%.

Sementara itu, Nisbah Jumlah Modal Kumpulan Bank Islam kekal kukuh pada 19.6%.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, Kumpulan Bank Islam kekal teguh dalam komitmennya terhadap kestabilan kewangan jangka panjang dengan mengimbangi pertumbuhan strategik bersama-sama dengan
pengurusan kualiti aset yang berhemat.

“Kumpulan akan mengutamakan pengukuhan asasnya dan memberi tumpuan terhadap disiplin lembaran imbangan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

“Kami juga akan menyokong secara aktif pelaksanaan model perniagaan baharu untuk mempelbagaikan penyelesaian pelanggan dengan menawarkan produk dan perkhidmatan inovatif yang akan membezakan Bank Islam dalam pasaran yang kompetitif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast