Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Selepas isu kuarantin membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hangat ketika pembuka sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengeluarkan kenyataan bagi meredakan isu terbabit.

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada bidang kuasa pihak berwajib untuk melakukan siasatan mereka.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang,” kata Perdana Menteri.

Tambah Muhyiddin, kerajaan PN ambil maklum akan isu berkenaan dan menegaskan setiap rakyat di negara itu tidak terlepas sekiranya didapati melanggar undang-undang di negara ini.

“Kerajaan mengambil maklum dan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali setelah beliau pulang dari Turki pada 7 Julai 2020.

“Kerajaan Perikatan Nasional berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang Negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa letak jawatan. Isu tengok keslah apalah bodohnya MP PH ni. Lebih penting desak LGE untuk kosongkan kerusi MP kerana pendedahan oleh YB MENTERI KEWANGAN.

Comments are closed.