Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dauk Seri Nancy Shukri menyerahkan sijil penghargaan kepada penerima anugerah, Wan Rozaini Wan Ibrahim pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 25 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kakitangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial sebagai medium menyebarkan  tuduhan terhadap kerajaan secara melulu.

Menterinya,  Datuk Seri Nancy Shukri berkata, media sosial sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia merupakan sumber utama masyarakat mendapatkan maklumat berkenaan kegiatan pelancongan.

“Hari ini, sebaran maklumat dan promosi menjangkaui media arus perdana, merangkumi penggunaan media sosial seperti Facebook, twitter atau Instagram.

“Ia menjadi sumber utama kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat terkini di kalangan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan yang menjadi stakeholders MOTAC.

“Kita harus memanfaatkan media sosial sebagai agen penyampai maklumat dan promosi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Kita juga perlu mengelakkan daripada penyalahgunaan media sosial melalui penyebaran maklumat atau lemparan tuduhan dan kritikan terhadap Kerajaan secara melulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Sektor Kebudayaan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya hari ini.

Menurut Nancy, sebagai penjawat awam, kakitangan kementerian perlu  mengetahui etika penggunaan media sosial.

Beliau dalam masa yang sama, beliau menyeru para penjawat awam menggunakan bahasa yang sopan di media sosial meskipun demi mempertahankan agensi mahupun diri sendiri kerana ia merupakan cerminan masyarakat Malaysia oleh pelancong luar.

“Walaupun untuk mempertahankan diri dan agensi, pesanan saya ialah jangan sesekali kita membalas kritikan di media sosial dengan bahasa yang kesat dan kurang sopan.

“Sebaiknya, kita perlu menonjolkan sifat-sifat kesantunan dan kesopanan selari dengan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia yang mesra dan berbudi bahasa. Ini sudah pasti membantu dalam menarik perhatian orang ramai dan pelancong asing membaca posting (hantaran) kita di media sosial dan terpanggil untuk datang melancong di Malaysia.

Kitalah yang menjadi role model kepada orang lain,” jelas beliau.

Selain membudayakan budi bahasa di tempat kerja, Nancy mengajak warga kementerian berkenaan untuk  mempamerkan imej diri yang positif dalam segala tindakan termasuklah cara bertutur.-MalaysiaGazette