Jair Bolsonaro. foto Agensi

BRASILIA – Presiden Brazil, Jair Bolsonaro meneruskan serangannya terhadap wartawan dalam satu majlis, dengan menggambarkan wartawan sebagai pengecut dan mengatakan mereka mempunyai peluang tinggi untuk mati kerana Covid-19 kerana bukan seorang atlet.

Sehari sebelum itu, Bolsonaro telah mengancam untuk menumbuk muka seorang wartawan yang bertanya tentang isu pemindahan ribuan dolar ke dalam akaun bank isterinya oleh bekas pembantu, Fabricio Queiroz.

Queiroz itu kini sedang disiasat.

Bolsonaro, bekas kapten tentera tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan media, malah beliau sering menyebut nama akhbar dan wartawan tertentu untuk melepaskan kemarahannya.

Tidak cukup dengan itu, para penyokong Bolsonaro turut menyerang wartawan dalam perhimpunan atau majlis-majlis awam.

Semasa menghadiri satu program ‘Brazil menghapuskan wabak  Covid-19’, Bolsonaro berkongsikan pengalamannya sendiri dalam memerangi virus itu pada bulan Julai, yang mengakui keberkesanan penggunaan ubat hidroksioklorokuin.

Beliau turut menggambarkan pengalamannya sebagai atlet menyebabkan tubuhnya kebal daripada serangan koronavirus yang lebih teruk.

“Itu sejarah seorang atlet, tidak seperti pengamal media, tetapi ketika (Covid-19) menyerang salah seorang dari anda, peluang anda untuk bertahan agak rendah.

“Anda hanya tahu bagaimana melakukan kejahatan, menggunakan pena sebahagian besar untuk kejahatan. Peluang anda bertahan agak rendah,” kata Bolsonaro kepada wartawan.

Awal bulan ini, media tempatan melaporkan bahawa Queiroz telah memasukkan 72,000 reais (AS$ 12,900) ke dalam akaun Michelle Bolsonaro antara tahun 2011 dan 2018. – MalaysiaGazette