KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan sempena sambutan ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia ke-50 (UKM50).

Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar baru-baru ini.

BNM berkata, ia mengeluarkan tiga spesifikasi duit syiling iaitu Duit Syiling Peringatan Perak, Duit Syiling Peringatan Emas Nordic dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated.

Duit syiling ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM253 sekeping. Sebanyak 1,000 keping ditempa.

Manakala duit syiling dalam kemasan kilat ini diperbuat menggunakan tembaga dan beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM60.50 sekeping. Sebanyak 1,000 keping ditempa.

Duit syiling dalam kemasan tanpa kilat ini diperbuat terutamanya menggunakan tembaga dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping.

Jumlah tempaan adalah sebanyak 25,000 keping, termasuk 10,000 keping dalam bungkusan eksklusif yang dikeluarkan khas untuk dijual kepada pelajar dan alumni UKM.

Duit syiling ini juga boleh didapati dalam set dua dalam satu.

Set ini mengandungi satu duit syiling pruf perak berwarna dan satu duit syiling pruf emas Nordic dan setiap set dijual pada harga RM308 dan terdapat 1,000 set sahaja. – MalaysiaGazette