Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Zuraida Kamaruddin menjelaskan dua projek yang diluluskan secara rundingan terus (RT) ketika menjadi menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibuat tanpa pengetahuannya.

Tanpa mengulas lanjut, Menteri Perumahan Kerajaan dan Tempatan memberi jaminan akan menjalankan siasatan terhadap pendedahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz itu.

“Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, yang turut mengaitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menawarkan projek rundingan terus.

“Ingin saya tegaskan dua projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat diluar pengetahuan saya.

“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul,” katanya menerusi kenyataan media.

Semalam, Tengku Zafrul mengemukakan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan melalui proses rundingan terus, semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Berdasarkan senarai itu terdapat 20 kementerian yang melaksanakan RT, Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli paling banyak melaksanakan RT iaitu 13 diikuti Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (12), Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (9), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan Kementerian Dalam Negeri, masing-masing 8.

Dari segi nilai terbanyak adalah Kementerian Pengangkutan berjumlah RM4.47 bilion meskipun hanya empat projek sahaja.

KPKT juga didedahkan turut terlibat menerima kelulusan dua projek secara RT.-MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.