Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menangkap lima lelaki berumur antara 14 hingga 37 tahun yang terlibat dalam pergaduhan di taman permainan Ken Rimba Seksyen 16, Shah Alam yang mengakibatkan kematian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki berumur 23 tahun iaitu anak saudara mangsa.

Hasil siasatan awal pihaknya mendapati pergaduhan berpunca daripada sebuah telefon bimbit milik adik perempuan kepada lelaki berkenaan diambil oleh rakannya yang dikenali sebagai Kak Long atas alasan cara melunaskan hutang.

Mangsa, lelaki 27 tahun kemudiannya ingin membantu menyelesaikan masalah anak saudaranya itu namun berlaku pertengkaran antara bapa saudara lelaki itu dengan adik Kak Long sebelum mereka bergelut.

“Semasa pergelutan, tiba-tiba salah seorang yang berada di situ iaitu pakcik kepada Kak Long datang dan memukul belakang badan si mati menggunakan kayu yang diambil daripada bonet kenderaan.

“Si mati mengalami sesak nafas dan meminta pengadu mengambil ubat sakit jantungnya di rumah.

“Apabila pengadu kembali, si mati tiada di lokasi dan diberitahu si mati dibawa oleh suspek ke Hospital Seksyen 7 Shah Alam,” katanya menerusi kenyataan.

Tangkapan dibuat sehari selepas kejadian yang berlaku pada 24 Ogos 2020 dan didapati empat orang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes-kes samun, curi motosikal dan dadah.

Kesemua tangkapan direman sehingga 31 Ogos ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette