Polis akan mempertingkatkan operasi di beberapa lokasi panas di pusat bandar raya untuk mencegah perlumbaan haram motosikal sempena cuti panjang sambutan Hari Kebangsaan 2020.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis akan mempertingkatkan operasi di beberapa lokasi panas di pusat bandar raya untuk mencegah perlumbaan haram motosikal sempena cuti panjang sambutan Hari Kebangsaan 2020.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, lokasi-lokasi panas menjadi tumpuan pelumba haram mat rempit diberi tumpuan khusus sempena cuti empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan.

“Kebiasaannya mat rempit berlumba di awal tengah malam semasa cuti panjang sebegini dan yang sentiasa menjadi tumpuan lokasi panas adalah dua lebuh raya di dalam pusat bandaraya iaitu Lebuh Raya Duta Ulu Klang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“Namun kes mat rempit menunjukkan penurunan khususnya di dalam pusat bandar raya kerana mereka sudah berhijrah untuk mengadakan lumba haram rempit di luar Kuala Lumpur.

“Kami tidak menafikan berkemungkinan ia disebabkan oleh orang awam yang mudah mengesan kegiatan mat rempit dan menyalurkan maklumat kepada polis dengan pantas manakala polis pula bertindak pantas mencekup mat rempit.

“Bagaimanapun kami akan tetap teruskan operasi cegah perlumbaan haram membabitkan mat rempit ini di kawasan-kawasan panas di pusat bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Tol Jalan Duta dan menyampaikan goodies kepada pemandu sebagai nasihat memandu secara berhemah untuk balik kampung untuk cuti empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan menerusi kempen keselamatan jalan raya sempena Hari Kebangsaan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, mat rempit seramai 164 orang ditangkap atas kesalahan tersebut sehingga Julai ini termasuk individu yang melakukan kesalahan berulang.

Justeru katanya, sejak Januari hingga Julai lalu, hanya 94 kes kemalangan maut direkodkan di ibu negara berbanding 214 kes maut sepanjang tahun lalu.

“Manakala jumlah kemalangan sepanjang tahun lepas adalah 356, 176 kes dan bagi tahun ini sehingga Julai lalu adalah sebanyak 277,760 kes kemalangan direkodkan.

“Kita memang menyasarkan untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan juga kes maut khususnya semasa cuti Hari Kebangsaan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukan mat rempit ja. Mat romeo pun kena operasi gak. Mana mana mat romeo bawak pompuan malam tu, tahan, call mak bapak depa bgtau. Bru 9 bulan nanti xda musim kes buang bayi

Comments are closed.