Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR- Pas tidak ada masalah menggunakan simbol Barisan Nasional (BN) untuk calon-calon partinya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Pas tidak ada masalah guna simbol BN, Pas boleh guna simbol BN di Sabah. Namun, ia terpulang kepada keputusan yang dibuat, kalau keputusan guna simbol masing-masing, guna simbol masing.

“Hal ini kerana, saya difahamkan di Sabah, ada parti di Sabah yang hendak buat simbolnya sendiri. Terpulang, kita tak ada masalah,” katanya dalam sidang media di Marang, Terengganu seperti dilaporkan hari ini.

Sebelum itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, calon BN yang akan bertanding dalam PRN Sabah akan menggunakan lambang parti dacing kerana pengundi sudah biasa dengannya.

Dalam pada itu, menurut Abdul Hadi, keputusan menggunakan simbol BN bukan perkara baharu sebaliknya Pas pernah bertanding menggunakan simbol itu pada 1974 ketika parti itu berada dalam gabungan BN.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap Pas dapat bertanding di enam hingga 10 kerusi pada PRN Sabah.

Beliau berkata parti itu telah menyerahkan senarai calonnya kepada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional untuk keputusan akhir.- MalaysiaGazette