Calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz bersama isterinya, Juliana Sarip (kiri) sambil diperhatikan bapanya, Aziz Nordin selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidi Aziz mengakui beliau tidak terkejut dengan majoriti kemenangan besarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Slim) yang diumumkan malam ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, beliau sebelum ini telah diletakkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) tinggi oleh Pengarah PRK DUN Slim, Datuk Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan Negeri Perak.

Beliau berkata, ia dapat dicapai kerana terdapat kerjasama kuat dalam Muafakat Nasional (MN) yang berjaya mengeluarkan ramai pengundi sekali gus mendapat majoriti besar.

“Terima kasih kepda Pas yang memberi kerjasama kuat dan komitmen tinggi dari segi jentera dan logistik bagi membawa keluar pengundi seramai mungkin.

“Ini kerana tidak mudah bagi Pas yang sudah lama sebenarnya tidak berada dalam semangat UMNO namun kerana MN, mereka undi UMNO

“Sebagaimana letak KPI oleh Datuk Saarani, saya tidak terkejut sangat majoriti (besar) kerana ada kerjasama kuat MN.

“Begitu juga undi masyarakat Cina dan India yang mengundi BN,” katanya.

ADUN Slim, Mohd Zaidi Aziz bersama penyokongnya selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Command Centre, Felda Trolak, Perak. foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2020.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pengumuman PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini.

BN berjaya mempertahankan kerusi itu menerusi kemenangan besar Mohd. Zaidi Aziz selepas beliau menang selesa dengan majoriti 10,945 undi apabila memperoleh 13,060 undi manakala dua pencabarnya dari bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S. Santharasekaran, 44, yang turut hilang wang deposit.

Amir Khusyairi mewakili Parti Pejuang Tanahair yang dalam proses pendaftaran pimpinan Tun Dr Mahathir memperoleh 2,115 undi manakala Santharasekaran dengan 276 undi, sementara 327 undi ditolak.

Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK Slim ini.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Mohd Khusairi yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai. – MalaysiaGazette