KUCHING – Desas desus hampir 70 peratus ahli PKR Sarawak telah meninggalkan parti dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) bersama-sama bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian tidak benar.

Sebaliknya keahlian PKR di Sarawak kini sudah mencecah 80,000 ahli dan bilangannya semakin meningkat walaupun pelbagai spekulasi negatif disebarkan oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Keadilan Sarawak, Larry Sng berkata, hanya 450 ahli terpengaruh dengan kumpulan ‘pengkhianat’ dan meninggalkan parti manakala lebih 80,000 ahli masih setia dengan perjuangan PKR.

“Saya tolak sekeras-kerasnya. Keadilan Sarawak telah melalui fasa perubahan kepimpinan dan penstrukturan yang signifikan sejurus pemergian Baru Bian, Ali Biju, Wille Mogin serta sekutu yang memilih untuk mengkhianati PH sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada bulan Febuari lepas.

Baru Bian“Ali Biju dan Willie Mogin kini belayar di kapal Bersatu manakala Baru Bian dan See Chee How memilih untuk bersama PSB. Tetapi terus terang saya katakan di sini ada juga hikmah dengan pengkhianatan ini.

“Apa yang berlaku ketika ini ialah dugaan titik hitam ini sebenarnya telah membuka peluang kepada kepimpinan Keadilan Sarawak untuk mendekati akar umbi parti yang selama ini bekerja keras memperjuangkan hak sosial dan isu komuniti dalam usaha memperkasakan rakyat kita di sini.

“Kebenarannya, ketika ini keahlian sudah mencecah 80,000. Kononnya hampir 70 peratus ahli PKR sertai PSB dan ikut Baru Bian. Cerita sebenarnya, hanya 300 keluar dan mereka ikut Willie dan Ali masuk Bersatu.

“Hanya dalam sekitar 150 tinggalkan PKR dan sertai Baru Bian dan Chee How manakala permohonan baharu pula lebih 1,000 baru-baru ini untuk sertai PKR Sarawak. Jadi mana pula datangnya cerita 70 peratus ahli kami keluar? Bohong sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Larry yang juga Ahli Parlimen Julau, beliau cukup teruja memimpin parti yang kini mula diterima ahli dalam kalangan wanita serta anak muda.

“Ini amat penting dalam membina pucuk pimpinan masa depan yang benar-benar mencerminkan komuniti akar-umbi Sarawak yang pelbagai kaum, budaya dan latar belakang.

“Keadilan juga telah memperbaharui komitmen untuk memperjuangkan hak dan keperluan komuniti Sarawak yang merangkumi reformasi hak tanah adat (NCR).

“Selain itu, antara keutamaan kami ialah perjuangan berkaitan kemudahan asas seperti air bersih, perkhidmatan elektrik, jalan raya yang selamat, perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, pendidikan, capaian internet di seluruh Sarawak dan isu kerakyatan yang dihadapi oleh ramai anak Sarawak.

“Dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 kita juga perlu mencari jalan penyelesaian untuk menjana semula ekonomi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memastikan bahawa kekayaan dan kemakmuran negeri Sarawak dapat dikongsi oleh semua penduduk Sarawak dari Lundu hingga ke Lawas.

“Hak dan masalah rakyat yang sudah lama terabai mesti diselesaikan dengan segera oleh pihak kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Keadilan Sarawak akan terus memperjuangkan keadilan untuk Sarawak dan keadilan untuk semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bila Majlis Perbandaran Kuching hendak mendakwa pemuda DAP yang dikatakan membuat vandalisma kepada tanda2 jalan disekitar bandar Kuching? Ianya suatu pencerobohan dan kesalahan yang amat jelas!

    Rakyat memerhati perjalanan rule of law dibandaraya Kuching!

Comments are closed.