Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

ALOR SETAR – Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit saliran air di Kampung Padang Temusu dekat Sungai Petani, semalam ditemukan mati lemas pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata, mayat Muhammad Uwais Al-Hafiz Hamizal ditemukan tersangkut di ranting kayu kira-kira 10 pagi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang menyambung semula operasi mencari dan menyelamat bermula 8 pagi ini.

“Menurut saksi, mangsa sedang bermain bersama abangnya yang berusia 10 tahun di bahagian tepi parit berhampiran kedai milik ibunya sebelum dipercayai terjatuh.

“Saksi kemudiannya telah terjun ke dalam parit dengan kedalaman air kira-kira dua meter untuk menyelamatkan mereka. Mereka berjaya berpaut pada saksi sebelum pegangan mangsa terlepas dan dibawa arus deras akibat hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, mayat mangsa dijumpai di Kampung Pokok Asam, Tikam Batu kira-kira 1.4 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat. – Bernama