Petugas kontraktor melakukan kerja-kerja pemasangan Jalur Gemilang di bangunan Jabatan Akauntan Negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang bertemakan "Malaysia Prihatin" ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 26 OGOS 2020.

SAMBUTAN Hari Kebangsaan ke 63 di tahun 2020 ini adalah tarikh yang paling dinantikan oleh semua setelah Wawasan 2020 dilancarkan pada 28 Februari 1991. Sejak 29 tahun lalu, Malaysia dibayangkan sebagai sebuah negara yang ideal dan telah maju mengikut acuan sendiri. Justeru, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun berkenaan adalah antara acara yang paling ditunggu-tunggu.

Namun siapa sangka, takdir telah memaksa kita untuk berada dalam Norma Baharu akibat serangan pandemik COVID-19 di seluruh dunia. Akhirnya sambutan Hari Kebangsaan yang sepatutnya menjadi salah satu perayaan meraikan negara maju, terpaksa bertukar kepada sebuah acara yang lebih menonjolkan rasa syukur serta lebih berwaspada. Tambahan lagi, Kerajaan Malaysia yang mentadbir negara ini sekarang adalah kerajaan campuran antara serpihan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan
Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebagai sebuah kerajaan yang punya pengalaman duduk di sebelah kanan dan kiri Dewan Rakyat, sudah tentu agenda pemerintah terhadap rakyat makin digarap dengan strategi lebih baik dan berimpak. Cukuplah untuk kita mentafsir akan tema Hari Kebangsaan ke 63 kali ini iaitu “Malaysia Prihatin” sebagai satu contoh kebersamaan kerajaan dengan rakyat.

Cuba ditanya kepada rakyat terbanyak di negara ini, adakah mereka boleh merasa bantuan pihak kerajaan terhadap mereka tatkala pandemik menyerang negara ini? Sudah tentu kita semua akan menjawab ya dalam perspektif masing-masing. Contohnya, diskaun bil elektrik 6 bulan bermula 1 April, penangguhan bayaran balik PTPTN selama 3 bulan, bantuan JKM kepada 500,000 penerima, pengecualian yuran tadika, elaun khas kepada ‘frontliners’, moratorium selama 6 bulan bagi pembayaran pinjaman bank, bantuan khas RM500 kepada semua penjawat awam termasuk yang berstatus kontrak dan sementara, dan pelbagai lagi bantuan lain.

Seperti mana pandemik COVID-19 yang tidak pernah diketahui kewujudannya sebelum ini, begitulah juga bantuan demi bantuan kerajaan terhadap rakyat di tahun ini diperkenalkan. Tiada siapa boleh menafikan, Kerajaan Malaysia pada kali ini perlu lebih prihatin berbanding kerajaan terdahulu. Ini kerana, semakin besar ujian yang sedang rakyat alami, maka semakin besar jugalah tahap keprihatinan pemerintah perlu diberikan kepada rakyat.

Sebagai rakyat yang turut menerima pelbagai bentuk bantuan dari kerajaan, saya perlu mengutarakan rintihan rakyat bahawa bantuan demi bantuan dari pihak kerajaan wajar digembelingkan lagi agar bukan sahaja lebih terfokus, malah lebih meringankan kualiti hidup rakyat tatkala berhadapan dengan Norma Baharu ini. Teruskan menjadi sebuah kerajaan yang prihatin dan disenangi rakyat.

HAJI SARFARIZMAL MD SAAD
Bekas mahasiswa UKM, Bangi.