Azizi Mustafa

KUALA LUMPUR – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) melancarkan Skim Pembiayaan Mudah Digital dan Teknologi sebagai satu langkah menerusi usaha untuk membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dalam tempoh pandemik yang mencabar ini.

Skim Pembiayaan Mudah Digital dan Teknologi menawarkan pembiayaan sebanyak RM1 juta atau bantuan sehingga 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kos barangan yang terpilih.

Kadar faedah yang dikenakan serendah 4% dan pembiayaan itu mencakupi yuran undang-undang.

Skim itu yang ditawarkan menerusi Divisyen Kewangan Pembangunan adalah untuk semua sektor, bertujuan memupuk penggunaan teknologi digital dalam kalangan PKS, lantas meningkatkan daya saing, kecekapan dan kebolehpasaran.

Selain itu, skim ini bermatlamat untuk meningkatkan kebolehpasaran barangan tempatan PKS di peringkat nasional serta ke pasaran global.

Cara ini juga dilihat dapat menggalakkan PKS untuk mengadaptasi digitalisasi dan edagang.

Ketua DFD, Azizi Mustafa berkata, perniagaan hari ini tidak lagi tertumpu kepada interaksi fizikal, oleh itu, penerimaan dan penggunaan platform digital seperti e-dagang dilihat sangat signifikan.

”Usaha untuk menggalakkan usahawan menggunakan platform digital dan atas talian merupakan kunci untuk kekal relevan.

”PKS merupakan komponen penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, justeru MIDF percaya skim yang diperkenalkan ini dapat membantu PKS untuk menyesuaikan diri dalam beralih kepada digital sejajar dengan perkembangan teknologi.

”Dengan ini para PKS akan lebih berdaya saing dalam mengembangkan perniagaan mereka sehingga menembusi pasaran antarabangsa dengan kos operasi yang lebih rendah,” tambah Azizi.

PKS yang berminat untuk mendapatkan skim yang ditawarkan, bolehh menghubungi Business Advisory Unit MIDF menerusi talian 1-300-88-6433 ataupun emel ke [email protected]. – MalaysiaGazette