Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap sesuatu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Persatuan Alumni Universiti Malaysia (PAUM), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Ketiadaan manifesto dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak bermakna kerajaan yang baharu tertubuh itu tidak mempunyai kebertanggungjawaban kepada rakyat.

Sebaliknya, sebagai seorang muslim yang dipilih unutk memimpin, seseorang itu perlu bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan Perikatan Nasional bukanlah selepas diadakan pilihan raya seperti biasa, tetapi berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kerajaan ini tidak mempunyai apa-apa manifesto atau akujanji yang biasanya dibentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya.

“Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan. Janji-janji mana yang telah tertunai dan mana yang belum tertunai tidak boleh disenaraikan satu-persatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara pemimpin paling awal menyokong beliau menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Katanya, ia kemudian diikuti pemimpin parti-parti lain yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN.

“Saya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong setelah mantan perdana menteri meletak jawatan dan saya mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen dari parti PPBM, Barisan Nasional, PAS, GPS, STAR dan PBS.

“Antara yang paling awal menyokong saya ialah YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS yang ada di sini pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau secara peribadi tidak menjangka dilantik sebagai perdana menteri ketika krisis politik berlaku hujung Februari.

“Tetapi oleh kerana berlakunya krisis politik yang agak rumit pada ketika itu, rakan-rakan pimpinan parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional hari ini mencadangkan nama saya sebagai Perdana Menteri.

“Setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa saya mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat, maka jadilah saya Perdana Menteri.

“Keberadaan saya di sini hari ini selain daripada ketentuan Allah yang maha kuasa adalah kerana sokongan yang saya terima daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Sebagai Perdana Menteri, tugas saya yang pertama menurut Perlembagaan Persekutuan ialah membentuk Kabinet, maka saya telah membentuk Kabinet saya yang menggabungkan ahli-ahli Parlimen dari parti-parti yang menyokong saya, seorang ahli perbankan dan seorang mantan mufti.

“Kabinet inilah yang membentuk sebuah kerajaan yang dinamakan kerajaan Perikatan Nasional,” tambah beliau.

Menurut Muhyiddin lagi, tempoh enam bulan kerajaan PN satu jangka yang singkat untuk dinilai pencapaiannya.

“Dalam keadaan biasa, enam bulan adalah umpama tempoh percubaan atau probation period.

“Sudah pasti tempoh yang agak lebih lama diperlukan untuk membuat penilaian yang lebih komprehensif tentang pencapaian sesebuah kerajaan,” katanya.

Muhyiddin memaklumkan beliau kini menyerah kepada rakyat untuk menilai pentadbirannya.

Hadir sama pada konvensyen tersebut, Abdul Hadi yang mewakili Pas serta pimpinan kerajaan PN termasuk PPBM.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, pada 29 Februari lalu selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen terdiri daripada, BN, PPBM, Pas, GPS dan parti di Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Teman tak kesah…PN ke MN ke BN ke…yg PENTING..takde dap@komunis!

    Same2 le kite org Melayu pakat elok2!!

    Udah2 le kome bergaduh. Tak kemanenye.
    Cukup le 22 bln ALLAH SWT bagi pengajaran. Kalau kome pemimpin2 masih nak bergaduh lagi…insyaallah lepaih ni ALLAH SWT akan bagi balik kuasa ni kat dap!! Mase tu usah nak nangis ayor mate darah sekalipun idak akan kome dpt balik!!

    Kesian kat rakyat kat bawah ni.

Comments are closed.