Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa (tiga dari kanan) bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Jumaeah Masdi (dua dari kiri) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd. Dendera Billah Zamzuri (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang telah dibuat ke atas beberapa penama akaun Facebook yang menfitnah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Seri Noh Omar yang kononnya memberi wang suapan kepada pengundi di PRK Slim ketika di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 02 SEPTEMBER 2020.

SHAH ALAM – Badan Perhubungan UMNO Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook yang membuat hantaran berbaur fitnah jahat terhadap Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azman Mat Isa berkata, mereka cuba mencalarkan imej Barisan Nasional (BN) dengan memuatnaik beberapa keping gambar kononnya Noh cuba membeli undi semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim, bulan lalu.

“Posting-posting di Facebook itu menggambarkan Tan Sri Noh Omar sedang memberikan wang suapan (rasuah) kepada pengundi-pengundi di Slim dan mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Slim itu disebabkan rasuah.

“Padahal, foto Tan Sri Noh Omar itu adalah gambar lama pada 2 Februari 2018 iaitu ketika beliau sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Beliau menghadiri satu majlis bersama PIBG SMK Seri Desa, di Tanjung Karang untuk memberi Bantuan Persekolahan bernilai RM100 kepada 1,300 ibu bapa,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Jumaeah Masdi; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd. Dendera Billah Zamzuri dan Pengerusi Pertubuhan Kami Prihatin Selangor (PRIHATIN), Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakob membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, di sini.

Pada 30 Ogos lalu, beberapa pemilik akaun Facebook telah dikesan memuat naik hantaran bersama beberapa gambar Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sedang memberikan wang kepada orang ramai.

Posting Facebook tersebut turut memuatkan kata-kata yang mengaitkan gambar Ahli Parlimen Tanjung Karang itu dengan PRK DUN Slim pada 29 Ogos 2020 lalu.

Antara empat pemilik akaun Facebook terbabit ialah Dato’ Sri Zaienal Abidin, Ir Jebat Siber, Halim Harman Tantawi dan
Zek Alkhindi Arrawi.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Selangor menggesa pihak berkuasa agar menyiasat dan mengambol tindakan ke atas pemilik-pemilik akaun Facebook terbabit yang jelas memfitnah Noh baru-baru ini.

“Kami meminta pihak polis mengambil tindakan ke atas pemilik-pemilik akaun Facebook tersebut kerana menimbulkan hasutan dan mengganggu ketenteraman masyarakat dengan menyebarkan perkara yang tidak betul.

“Pemilik-pemilik akaun Facebook ini dengan sengaja memanipulasi foto dan data orang lain untuk menimbulkan persepsi yang buruk dan negatif kepada masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette