Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan anggota Majlis digesa turun padang bagi membantu rakyat yang terjejas akibat gangguan air di kebanyakan kawasan negeri itu sejak semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada waktu ini kebajikan rakyat perlu diutamakan.

“Setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor, dan Ahli-ahli Majlis digesa untuk turun ke kawasan-kawasan terjejas sebagai frontliner (barisan hadapan) dalam menghadapi gangguan air ini. Keperluan rakyat perlu diutamakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan sehingga kini kerajaan negeri bSelangor telah mengagihkan 78 lori tangki, 22 lori tangki jumbo dan 54 tangki statik serta 23,000 botol air minuman sebagai bantuan.

Tambahnya, fokus bantuan bekalan air diberikan kepada rumah dan premis perniagaan dalam kadar segera.

Bagaimanapun Amirudin tidak menjelaskan kawasan-kawasan yang telah menerima bantuan bekalan air.

“Sehingga kini, sebanyak 78 lori tangki, 22 lori tangki jumbo, 54 tangki statik, 18 pusat khidmat setempat, 8 pili air awam serta 23,000 botol air minuman 5 liter telah diagihkan dan telah dikerah bagi membantu mereka yang terjejas,”katanya lagi.

Sejak semalam Air Selangor melaporkan, sebanyak 1,292 kawasan di Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Penutupan LRA terbabit disebabkan berlaku pencemaran air mentah disyaki berpunca daripada tindakan premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melepaskan sisa seakan pelarut ke sungai.

Amirudin memberi jaminan kilang yang bertanggungjawab menjadi dalang melepaskan sisa pelarut ke Sungai Gong tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette