KUALA LUMPUR – Netizen membanjiri media sosial semalam dengan luahan rasa kecewa dan geram berikutan masalah gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis yang menjejaskan 1.2 juta pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Ramai yang mempersoalkan mengapa masalah ini berulang dari tahun ke tahun dan memohon pihak berkaitan agar menangani isu ini dengan bertanggungjawab, malah ada juga yang tidak dapat menahan diri daripada meninggalkan komen berbaur sindiran berhubung perkara itu.
Seorang pengguna Facebook, Amri Karim cuba memberikan fakta sebenar kepada pihak berkuasa mengenai jumlah kompaun yang dikenakan sebanyak RM60,000 ke atas sebuah kilang yang didakwa dalang di sebalik pencemaran air itu, adalah tidak berbaloi.
Berdasarkan siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, didapati bahawa kilang di Rawang yang melakukan pembaikan dan penyelenggaraan mesin berat itu menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor.
Malah, ini bukan kali pertama kilang itu menyebabkan pencemaran bau di sungai kerana kompaun RM60,000 itu dikenakan terhadap kilang terbabit pada Mac lepas, semasa fasa pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang lagi pengguna, Fei Meng berkata dia terfikir untuk menyaman pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap isu ini dengan menyatakan: “Bolehkah kita saman Air Selangor, LUAS, SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) dan kerajaan kerana ketidakcekapan dan gagal melaksanakan tugas untuk menjamin dan melindungi sumber air yang merupakan elemen paling penting bagi kehidupan”.
Bagi Jynna Ong, pelaku terhadap masalah ini perlu bertanggungjawab dan dihukum berat sekiranya didapati bersalah.
“Dalang di sebalik masalah ini harus bertanggungjawab sepenuhnya kerana menyebabkan kesengsaraan, kesusahan dan keseksaan kepada 1.2 juta penduduk Lembah Klang atau lebih!” katanya.
Sementara itu, Ajay Dev menggesa Air Selangor untuk memandang serius perkara ini dan memikirkan bagaimana rakyat perlu menanggung masalah ini yang sering berlaku.
Heeran Kaur dari Petaling Jaya pula memuat naik petisyen untuk mengklasifikasi pelakunya sebagai pengganas kesihatan dan alam sekitar.
Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah mula beroperasi semula secara berperingkat pada pukul 10.30 malam tadi dan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk aktiviti mencuci dan mengepam sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.
— BERNAMA