Pekerja Nurul Ain Hair & Beauty Saloon, Farhanie Ruslyharus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu mengenakan sarung tangan, pemakaian pelindung muka dan pelitup muka serta pakaian sut pelindung diri (PPE) semasa memberikan perkhidmatan kepada pelanggan selain pelanggan juga turut mengenakan pelitup muka sebagai langkah berwaspada terhadap penularan Covid - 19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2020

CABARAN  utama dihadapi oleh pemilik perniagaan perseorangan dan syarikat, terutamanya PKS, pada waktu ini ialah masalah mengendali aliran pendapatan dan menangani keupayaan melunaskan hutang dan pinjaman perniagaan. Kegagalan berbuat demikian, mendedahkan perniagaan kepada risiko tindakan pemiutang yang boleh membawa kepada bankrap pemilik perniagaan atau penutupan perniagaan tersebut. Implikasinya meluas; bukan sahaja pekerja- akan hilang pekerjaan, bahkan perniagaan lain yang berurusan dengan perniagaan terbabit akan juga terjejas.

Secara amnya, Akta Syarikat 2016 membenarkan pemiutang mengajukan permohonan penggulungan syarikat di mahkamah jika jumlah hutang tersebut ialah RM10,000 atau lebih. Syarikat diberikan tempoh 21 hari dari tarikh notis tuntutan untuk melunaskan hutang tersebut. Sekiranya gagal, syarikat tersebut boleh digulungkan. Sebagai langkah jangka pendek menangani impak Covid-19 terhadap keupayaan perniagaan untuk terus beroperasi, peruntukan ini telah diubahsuai pemakaiannya apabila Perintah Syarikat (Pengecualian) 2020 diperkenalkan. Di bawah Perintah ini, syarikat diberikan tempoh hingga 6 bulan dan amaun hutang dinaikkan kepada RM50,000.

Skim pengecualian in agak serupa dengan apa yang diperkenalkan oleh negara-negara lain. Intipatinya ialah memberikan perlindungan kepada syarikat dan perniagaan dari tindakan pemiutang yang memfailkan permohonan penggulungan syarikat. Apabila moratorium diberikan, perniagaan dapat berusaha membaikpulih dan menyusun semula kewangan tanpa perlu risau mengenai tindakan pemiutang. Tidak dinafikan walaupun moratorium dapat membantu perniagaan, menghalang pemiutang untuk membuat tuntutan juga boleh menyebabkan perniagaan pemiutang turut tergugat. Tetapi, memandangkan kegawatan ekonomi sekarang, tindakan moratorium adalah lebih munasabah dan berkemampuan menyumbang kepada pemulihan ekonomi. Setiap perniagaan juga, secara amnya akan berhutang dan menjadi pemiutang di dalam rangkaian ‘business supply chain’

Walaubagaimanapun, telah terdapat tindakan mahkamah mencabar kesahan Perintah Syarikat (Pengecualian) 2020 ini atas hujah Menteri tiada kuasa untuk membuat Perintah tersebut,(The Edge , Court to hear the merits of company’s challenge against govt’s directive on deferring payments, 29 June 2020). Kes in belum selesai didengar di mahkamah tetapi, jika berjaya, ini mungkin menyebabkan Perintah tersebut terbatal. Pada 25 Ogos 2020, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang Covid-19 dan Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2020 yang berkait rapat dengan isu moratorium bagi tindakan pemiutang terhadap syarikat dan terhadap orang perseorangan. Di dalam Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2020, terdapat peruntukan yang mirip kepada Perintah Syarikat (Pengecualian) 2020. Walaubagaimanapun, tiada perubahan undang-undang dicadangkan bagi Akta Syarikat 2016. Memandangkan telah ada kes melibatkan Perintah Pengecualian, adalah wajar supaya peruntukan serupa di masukkan ke dalam Akta Syarikat 2016 bagi mengelakkan keraguan.

Untuk terus berdaya saing, perniagaan juga perlu melaksanakan pengubahsuaian terhadap persekitaran kerja fizikal atas dasar keselamatan dan kesihatan serta pemakaian proses baru yang memerlukan komitmen kewangan. Perniagaan tetap memerlukan pembiayaan atau kredit dan menerima pesanan atau penghantaran bahan dari pelanggan. Malangnya, apabila keputusan dibuat untuk meneruskan perniagaan dalam senario dunia perniagaan yang dibayangi Covid-19, pegawai dan pengarah syarikat mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang di bawah Akta Syarikat 2016. Ini mungkin berlaku di bawah seksyen 539(3), umumnya dikenali sebagai ‘wrongful trading provision’, sekiranya pengarah atau pegawai syarikat dengan secara sedar menyebabkan syarikat itu berdagang atau menanggung hutang apabila tidak ada prospek atau alasan yang munasabah untuk menjangkakan bahawa syarikat itu dapat melunaskan hutangnya apabila sampai tempoh. Jika sabit kesalahan, pengarah atau pegawai syarikat dipertanggungjawabkan secara peribadi untuk melunaskan keseluruhan atau sebahagian hutang syarikat, termasuk juga risiko dipenjarakan .

Pada masa yang sama bagi mengimbangi kepentingan syarikat dan pemiutang dan untuk mengelakkan perlindungan ini disalahgunakan, beberapa negara juga mensyaratkan syarikat tersebut tidak boleh berada dalam kedudukan kewangan yang gawat sebelum Disember 2019. Di beberapa negara di Eropah contohnya, syarikat yang mampu membayar hutang tidak akan diberikan pengecualian dari tindakan pemiutang. Perlindungan juga tidak diberikan kepada pengarah syarikat yang menyebabkan syarikat terus menanggung hutang dengan niat untuk tidak membayar hutang. Ini adalah kerana di dalam konteks ini pengarah membenarkan atau menyebabkan syarikat berdagang dengan niat untuk menipu pemiutang dan pelanggan.

Malaysia juga mempunyai rangka kerja penyelamatan korporat di bawah Akta Syarikat 2016 sebagai alternatif kepada tindakan penggulungan syarikat. PKS boleh
juga menggunakan alternatif ini selain dari melakukan rundingan secara sukarela dengan pemiutang. Kita sedia maklum bawah cabaran yang dihadapi disebabkan oleh Covid-19 tidak mungkin selesai dalam masa terdekat. Dengan cadangan yang disebutkan tadi, pemilik perniagaan boleh memusatkan masa dan tenaga untuk membina semula perniagaan mereka .

Oleh: Professor Dr Aiman Nariman Bt Mohd Sulaiman & Prof Madya Dr Mohsin Hingun Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast