Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP mencadangkan tiga perlindungan ekonomi berjumlah RM31.4 bilion bagi menangani isu peningkatan pengangguran rakyat Malaysia kepada sejuta orang dan menyelamatkan pekerjaan.

Yang pertama, meningkatkan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200 hingga RM300 kepada RM1,000 secara serta-merta seperti yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM12 bilion.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pelaksaan cadangan ini akan menyediakan jaringan keselamatan serta merta bagi pekerja yang menganggur.

Kedua, melanjutkan moratorium pembayaran pinjaman bank selama enam bulan lagi apabila tamat pada 30 September kerana RM6.4 bilion daripada jumlah penangguhan itu akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.

Ia selaras dengan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang mengatakan bahawa jumlah nilai moratorium pinjaman adalah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos 2020. RM27.35 bilion telah dimanfaatkan oleh 300,000 perniagaan manakala RM50.79 bilion telah dimanfaatkan oleh 7.7 juta individu Malaysia.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengunjurkan sekitar 72,000 rakyat Malaysia telah diberhentikan pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Angka ini merangkumi syarikat yang berdaftar dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sahaja, tidak termasuk perniagaan yang tidak berdaftar di bawahnya.

Bagaimanapun, berdasarkan data Jabatan Penerangan – kadar pengangguran negara telah mencapai lebih 700,000 penganggur dengan kadar 4.9%.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jumlah kadar pemohonan pekerjaan akan meningkat kepada satu juta kerana merangkumi angka graduan baharu kira-kira 350,000 orang dan 200,000 lagi rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.

Kata Guan Eng, cadangan ketiga membabitkan insentif pengambilan pekerja di bawah #MalaysiaKerja sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 kepada majikan untuk mendorong majikan mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan dalam Belanjawan 2020.

Guan Eng berkata, peluasan skim ini untuk menampung 600,000 pekerja Malaysia dan majikan akan menelan belanja sebanyak RM13 bilion.

Katanya, insentif ini juga akan membantu lebih 500,000 anak muda yang menganggur, yang merupakan sebahagian besar daripada 4.9% kadar pengangguran.

Menurutnya, Malaysia adalah ekonomi dengan prestasi terburuk di ASEAN dengan penguncupan KDNK 17.1% pada suku kedua 2020.

Demi menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan ekonomi sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara kepada meminjam lebih banyak wang.

Ujarnya, meminjam RM31.4 bilion untuk membantu satu juta rakyat Malaysia yang menganggur mungkin mahal tetapi diperlukan untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Aku nk bg tahu kpd puak2 dap tak plu nk bg cdangan lh ya..22 bln ko tadbir ngra ni hncur di buat nya, bkn lbh baik, tapi rosak di kerjanya..ada hati nk bg pandangan..ko bg pndangan bgaimana cara nk hncur kn dap di mlysia ni dah lh ya..

Comments are closed.