Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Zamri Yahya . foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Laporan siasatan melibatkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah dirujuk untuk tindakan lanjut Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Komisioner Datuk Zamri Yahya berkata, laporan lengkap siasatan itu telah dikemukakan kepada Ketua Polis Negara pada minggu lalu.

Katanya, JIPS telah menjalankan siasatan selama 10 hari terhadap pegawai dan anggota IPD berkenaan menerusi satu pasukan yang dilantik dan diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Superintendan.

“Pasukan kita (JIPS) telah pergi IPD berkenaan dan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk menyemak segala dokumen-dokumen siasatan dan serbuan yang telah dilaksanakan oleh Ketua Polis Daerah berkenaan dan para pegawainya ke atas sindiket dan premis judi haram di daerah tersebut.

“Ia termasuklah segala laporan polis yang diterima dan jumlah kertas siasatan berkaitan judi haram yang dibuka.

“Kita mendapati sejak tahun lepas hingga Julai lalu sebanyak 447 serbuan ke atas pusat judi haram di Sungai Buloh telah dilakukan.

“Hasilnya mereka berjaya menahan seramai 665 orang individu yang terlibat judi haram dan merampas 765 rampasan telefon bimbit, tablet sebagainya.

“Jadi apa yang kami boleh jelaskan di sini mereka melaksanakan segala tindakan penguatkuasaan dengan baik,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur melibatkan Datuk Seri Mazlan Lazim kepada Datuk Saiful Azly Kamaruddin dan penyerahan tongkat kuasa berkuatkuasa hari ini di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Jelasnya, siasatan mendalam JIPS juga dilakukan  terhadap dakwaan kononnya pegawai dan anggota IPD berkenaan telah bersekongkol dengan tauke dan melindungi pusat judi haram.

“Didapati pemilikan aset dan harta mereka tidak meragukan dan munasabah mengikut kesesuaian pendapatan yang diterima setiap bulan.

“Kami memeriksa aset-aset dan kekayaan yang dimiliki pegawai-pegawai IPD Sungai Buloh dan aset Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar.

“Beliau memiliki harta pada kadar munasabah iaitu rumahnya bernilai bawah RM400,000 dan kereta yang digunakan adalah biasa dan bersesuaian dengan pangkat dan gaji bulanan iaitu mengikut kemampuan pangkat dan pendapatan,” ujarnya.

Katanya laporan khas itu sudah disediakan tetapi tidak melibatkan sebarang cadang pemecatan atau penyingkiran jawatan.

“Saya sudah kemukakan laporan khas kes ini kepada Tan Sri Ketua Polis Negara dan terserah kepada beliau untuk mengambil tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zamri menasihatkan IPD dan pegawai tertinggi berkenaan supaya membuat operasi secara bersepadu melibatkan bersama Majlis Daerah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Sir supaya penguatkuasaan lebih berkesan pada masa hadapan.

“Operasi bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan akan bertambah efisien dan menjamin keberkesanan penguatkuasaan yang tegas dan melenyapkan harapan sindiket judi kembali beroperasi,” tegasnya.

Pada 8 Ogos lalu, Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut, telah mendedahkan dua video yang tular di laman sosial membabitkan dakwaan aktiviti perjudian haram, rokok seludup dan perniagaan haram di daerah tersebut.

Rentetan pendedahan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan lapan pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). – MalaysiaGazette