Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan kes-kes pencemaran alam sekitar khususnya di Sungai Gong, Rawang Selangor sebagai jenayah terancang yang boleh disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ketika ini pihaknya sedang mempergiatkan siasatan kes pencemaran serius itu yang menjejaskan lebih 1.2 juta pengguna di Lembah Klang kes itu daripada pelbagai sudut.

Katanya, ia termasuklah sebarang kemungkinan wujud perbuatan sabotaj pihak tertentu dalam kes pencemaran sungai Gong sehingga pengguna menderita selama empat hari.

“Kelmarin, kita mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dan agensi yang berkait dalam soal berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara.

“Ada beberapa arahan telah dikeluarkan dan memerlukan polis memenuhi tuntutan itu.

“Ada juga cadangan supaya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengenakan hukuman yang lebih berat membabitkan dalang kes ini.

“Dalam aspek berkenaan kita sedang pertimbangkan untuk siasat insiden ini bawah SOSMA,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama isterinya Puan Sri Norazrin Marzuki menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Empat Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di PDRM, di sini.

Turut bersama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan isterinya merangkap Naib Pengerusi PERKEP, Datin Seri Ir. Dr. Zaitun Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Tambah beliau, polis juga akan menyiasat sekiranya wujud sebarang unsur mengugut, menakutkan, sabotaj serta perbuatan yang dibuat berulang kali serta tidak baik dalam tragedi pencemaran sungai.

Mengulas berhubung cadangan untuk membentuk unit jenayah alam sekitar, yang dicadangkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Abdul Hamid berkata, pihaknya menyambut baik cadangan itu dan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat keputusan mengenainya.

Katanya, sekiranya KDN dapat memperhalusi dan meluluskan cadangan tersebut, PDRM memerlukan pertambahan jawatan bagi tujuan itu.

“Sekiranya cadangan itu diluluskan KDN, PDRM memohon untuk pertambahan jawatan dan tidak ada masalah bagi kami untuk menerima tugasan itu.

“Buat masa ini kita sudah pun memberikan komitmen bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), menjalankan tugas-tugas mencegah penyeludupan ia membabitkan ramai warga PDRM dan beban tugas bertambah.

“Sekiranya KDN luluskan cadangan itu, saya nak mohon supaya perjawatan tambahan,” tegasnya.

Beliau pada masa sama menasihati orang ramai supaya terus bersabar dan bertenang dan tidak bertindak emosi dalam soal pencemaran ini.

Beliau juga yakin tidak ada pihak yang bertindak menakutkan, mengugut mereka yang disyaki melakukan kesalahan mencemarkan sungai tersebut.

“Saya berikan nasihat bersabar, yakin bahawa siasatan dijalankan telus dan tiada unsur atau tiada kepentingan pun dalam usaha kami kononnya untuk nak kurangkan darjah kesalahan ini. percayalah tiada ‘cover up’ mana- mana,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette