Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerima hampir 50 maklum balas berhubung rundingan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital telah tamat pada 30 lalu.

Ia kini sedang mengkaji semua maklum balas yang diterima sebelum memuktamadkan dokumen dasar pelesenan bank
digital dan membuka permohonan bagi lesen tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, BNM mengambil pendekatan yang seimbang bagi
membolehkan kemasukan bank digital dengan tawaran nilai dengan peruntukan nilai yang kukuh dan berkeupayaan untuk
memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan.

Melalui pendekatan ini, BNM menetapkan had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana oleh bank digital agar tidak
melebihi RM2 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun awal operasi.

“Fasa asas ini bertujuan untuk bank digital menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka, manakala di pihak BNM, tempoh tersebut adalah bagi memantau prestasi dan sebarang risiko yang mungkin timbul,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee yang bertanya mengenai cadangan BNM untuk mengeluarkan lesen bank digital bagi urusan perbankan konvensional dan secara Islam.

Mohd Shahar menambah, bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), termasuk keperluan berkaitan standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna, serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Sepanjang tempoh fasa asas itu, bank digital berlesen juga tertakluk kepada keperluan pengawalseliaan yang lebih mudah berbanding dengan institusi perbankan sedia ada berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan dan keperluan penzahiran awam.

Ini bersesuaian dengan objektif untuk menggalakkan pertumbuhan dan inovasi oleh bank-bank digital terutamanya dalam usaha meningkatkan akses kewangan kepada segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast