Mangsa banjir, Noh Tujilan, 43 mengemas rumahnya semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Periuk, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 11 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kejadian banjir kilat akibat hujan lebat berterusan semalam lebih 30 keluarga Kampung Baru mengahadpi detik-detik cemas ketika air naik secara mendadak.

Lebih 20 keluarga yang tinggal di Lorong Kampung Periuk, Jalan Raja Alang dekat sini tidak menjangka menghadapi saat yang tidak dapat dilupakan itu walaupun pernah mengalami banjir kilat beberapa tahun lalu.

Suri rumah, Tuan Sharifah Zahara Tuan Long, 38 berkata, beliau tidak pernah berdepan banjir lumpur yang begitu teruk yang menyebabkan kerosakan harta benda.

“Bayangkan kebiasaannya kalau hujan lebat, banjir memang berlaku di sini tetapi sekadar lutut sahaja, tetapi apa yang berlaku semalam memang sangat menakutkan apabila selepas sejam hujan lebat, sekelip mata paras air banjir sudah melepasi tangga dan mencecah hingga paras leher.

Mangsa banjir, Tuan Sharifah Zahara Tuan Long mengemas rumah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Periuk, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 11 SEPTEMBER 2020

“Tekanan air deras yang kuat tiba-tiba menolak pintu rumah yang ditutup sebelum memasuki dengan begitu deras umpama air yang dilepaskan pintu empangan dalam sekelip mata parasnya mencecah sehingga leher.

“Segala perabot dan barang keperluan rumah mula terapung walaupun penuh dengan barang di dalam manakala tiga anak saya berusia antara 16 tahun dan 8 tahun sempat menjerit emak, kakak nak tenggelam mak, ayah ibu cepat, selamatkan kami.

“Saya dengar jeritan anak-anak yang turut terperangkap sebelum sempat mencapai mereka dalam tekanan air yang tinggi pada paras leher dan segera menyelamatkan diri dengan keluar meninggalkan rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tuan Sharifah dan keluarganya tidak peduli sekiranya harta benda rosak kerana ia boleh diganti dengan wang, tetapi nyawa anak-anaknya yang terperangkap dalam air deras kuat telah menakutkannya.

Katanya, hampir kesemua barangan milik keluarganya termasuk peralatan sekolah seperti buku teks, buku rujukan, pakaian dan dokumen penting ditenggelami air.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, mereka telah bermalam di Pusat Penempatan Sementara Banjir yang dibuka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru sejak pukul 8 malam tadi.

Anak-anaknya yang masih bersekolah dilihat menjemur buku-buku dan peralatan sekolah di luar rumah.

Mangsa banjir, Nur Saidatul Ainatasha, 8, menjemur buku yang basah di hadapan rumahnya semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Periuk, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 11 SEPTEMBER 2020

Katanya, pagi tadi beliau bersama suami dan anak-anaknya kembali semula ke kediamannya yang dilanda banjir lumpur dan dipenuhi sampah.

Menurut Tuan Syarifah, beliau bersyukur kerana ahli keluarganya walaupun harta benda dan rumah rosak teruk.

“Harta benda rosak tidak mengapa dik, jangan nyawa jadi balasan banjir ganas ini. saya bersyukur sebab anak-anak kami selamat.

“Kami masih risau jika insiden semalam berulang lagi hari ini, kami takut hujan dan banjir kilat kembali lagi, tapi kuat doakan supaya tidak berlaku. Pakaian habis rosak, nak hantar ke mesin dobi sahaja untuk cuci, selepas selesai bersihkan rumah.

“Tidak mengapa kami menerima ini sebagai ujian Allah yang memberi peringatan kepada kita supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Selain beliau, jiran-jiran sekampung juga melakukan kerja-kerja pembersihan rumah.

Barang-barang perabot seperti almari, katil, set sofa ruang tamu dan perkakasan elektrik seperti seterika, periuk nasi kipas dikumpul di luar kediaman untuk dibuang akibat banjir.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pusat Penempatan mangsa banjir Kelab Sultan Sulaiman juga mendapati 30 keluarga telah bermalam di situ.

Setakat pukul 10 pagi tadi seramai 24 orang sahaja masih berada di pusat itu dengan beberapa anggota polis ditempatkan di situ.

Rata-rata sebilangan besar masih risau hari ini mungkin hujan lagi dan mereka tidak pasti sama ada mahu pulang ke rumah masing-masing.

Turut terjejas Sekolah Rendah Agama dan Tadika Islam Tengku Ampuan Jemaah, Jalan Dewan Sultan Sulaiman di Kampung Baru.

Bagaimanapun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan berkata, segala dokumen penting murid dan sekolah selamat di tingkat satu bangunan itu yang terletaknya bilik guru.

Cikgu Tadika Islam Ampuan Jemaah mencuci bilik belajar semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Periuk, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 11 SEPTEMBER 2020

Para guru yang kebanyakannya wanita turun membersihkan bilik darjah dan mereka menganggap ia sebagai ujian kedua Allah ketika manusia berdepan ujian jangka panjang, Covid-19 ketika ini.

Di Pusat Penempatan Banjir kelab berkenaan, turut berkongsi kesedihannya Paridah Muslim, 60, dari kampung sama yang sempat menyelamatkan diri bersama anak bongsu berusia 15 tahun dan dua cucunya yang masih kecil.

Ujar beliau, anaknya kembali ke rumah untuk membersihkan dan membuang barnag-barang yang rosak akibat banjir semalam.

“Kami nak tunggu lihat bagaimana keadaan hari ini, sebab kalau balik rumah pun belum dibersihkan sepenuhnya dan segala perabut katil rosak mana nak tidur. Tengoklah keadaan nanti,” katanya yang juga terpaksa berlindung di pusat berkenaan.

Tinjauan di sekitar kawasan yang melanda banjir kilat di ibu negara khususnya kawasan Masjid Jamek dan Lebuh Ampang berhampiran River Of Life juga mendapati lokasi yang menjadi ‘pulau’ akibat banjir kilat semalam kini sudah surut sepenuhnya dan kembali normal.

Bagaimanapun, terdapat beberapa motosikal milik awam yang ditenggelami banjir di hadapan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek yang tidak dituntut.

Seorang pekerja Alam Flora mengutip sampah di lokasi banjir yang telah surut dan turut kelihatan kontraktor dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat dalam kerja-kerja pembersihan. -MalaysiaGazette