Netflix dihentam kerana menayangkan filem Cuties

LOS ANGELES – Netflix kehilangan jutaan pelanggan apabila warga dunia tidak bersetuju dengan penyiaran filem Perancis bertajuk Cuties yang memaparkan normalisasi seks kanak-kanak dan pedofilia.

Kini tanda pagar #CancelNetflix berada di kedudukan pertama topik trending Twitter di Amerika Syarikat dan global selepas tayangan perdana pada 9 September lalu.

Cuties mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan Senegal di Paris yang menyertai kumpulan tarian berfikiran bebas untuk lari daripada keluarganya yang bermasalah.

Bagaimanapun, filem itu mendapat kritikan hebat kerana dikatakan melampaui batas dalam menggambarkan seorang kanak-kanak perempuan dalam bentuk seksual.

Satu petisyen di Change.org yang meminta pelanggan Netflix membatalkan langganan mereka ekoran penayangan filem yang mengeksploitasi kanak-kanak itu telah dilancarkan.

Setakat ini ia telah berjaya mengutip 600,000 tandatangan.- Agensi