Exco Kesihatan Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud menyampaikan replika cek kepada penerima sumbangan Yayasan ZuriatCare pada Majlis Pelancaran ZuriatCARE di Bangi Convention Centre, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2020

BANGI – Yayasan ZuriatCARE telah mengambil inisiatif untuk membentuk satu modul intervensi rumah perlindungan gadis terlibat seks luar nikah.

Pengerusinya, Alia Muhammad Ali berkata, modul itu dilaksanakan dengan kerjasama penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bakal siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Beliau berharap modul tersebut dapat dijadikan garis panduan dan digunapakai oleh rumah-rumah perlindungan wanita di seluruh negara dalam usaha memberi pendidikan intervensi terhadap ibu hamil luar nikah.

“ZuriatCARE bersendirian pastinya tidak mampu untuk menyelesaikan kemelut permasalahan ini.

“Kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak yang sudi untuk berganding bahu memperkuatkan lagi jentera ZuriatCARE dan sama-sama proaktif dalam menangani masalah ini,” katanya.

Pengerusi ZuriatCARE, Alia Muhammad Ali berucap pada Majlis Pelancaran ZuriatCARE di Bangi Convention Centre, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2020

Beliau berkata pada majlis pelancaran Yayasan ZuriatCARE di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

ZuriatCARE sebelum ini merupakan sebuah program tabung kebajikan yang diasaskan oleh Awqaf Holdings Berhad.

Ia yang berperanan dalam mengendalikan program amal fi-sabilillah iaitu memelihara nasib remaja yang mengandung serta melindungi nasabnya yang tidak sah taraf telah dilancarkan pada 21 Jun 2015.

Mengulas lanjut, Alia memberitahu, sebanyak 323,047 kes anak tidak sah taraf telah direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejak tahun 2010 hingga tahun 2015.

Jelas beliau, angka itu hanyalah yang direkodkan dan tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan dan pengguguran bayi.

Menurutnya, peningkatan statistik kelahiran anak tidak sah taraf membuktikan bahawa Malaysia sedang mengalami krisis akhlak yang sangat serius dan perlu ditangani segera.

“Kelahiran anak tidak sah taraf merupakan kesalahan paling serius berhubung akhlak kerana ia telah merosakkan nasab dan bertentangan dengan ajaran Islam dalam proses mengembangkan zuriat.

Antara para hadirin yang hadir pada Majlis Pelancaran ZuriatCARE di Bangi Convention Centre, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2020

“Saya percaya agama lain turut melihat perkara ini sebagai satu kesalahan dan harus dielakkan daripada terus berlaku. Kelahiran anak tidak sah taraf juga turut menyumbang kepada perbuatan jenayah lain seperti pembuangan bayi,” katanya.

Tambah Alia, sepanjang penglibatan ZuriatCARE dengan rumah-rumah perlindungan, beliau kerap kali dimaklumkan kes-kes pelajar berumur seawal usia 10 tahun yang telah tersasar dan diberikan perlindungan dan penjagaan di rumah perlindungan.

“Puncanya bermula daripada perkenalan di WeChat, Facebook dan platform media sosial yang lain. Saya sedar cabaran dalam mendidik anak-anak zaman sekarang agak berlainan dengan zaman kita.

“Kini, anak-anak lebih terdedah kepada gajet seperti tablet dan telefon pintar dan jika penggunaannya tidak dipantau, ianya bakal memberi keburukan dalam jangka masa yang panjang,” katanya. – MalaysiaGazette