Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR – Peningkatan kadar kemasukan pekerja asing di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2 disebabkan oleh tindakan majikan yang membawa masuk pekerja mereka pada saat-saat akhir menjelang 31 Mei 2024.

Ia berikutan penetapan kerajaan bahawa 31 Mei 2024 sebagai tarikh akhir kepada majikan untuk membawa masuk pekerja asing mereka.

Selain daripada itu, setiap pekerja asing yang masuk ke Malaysia perlu melalui proses semakan dan pengesahan pemeriksaan kesihatan mereka di KLIA.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1,000 orang.

Bilangan ketibaan mula meningkat sehingga 2,500 orang sehari pada 22 Mei 2024 dan seterusnya pada 27 Mei 2024 telah meningkat sehingga 4,000 hingga 4,500 orang sehari.

“JIM menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga 31 Mei 2024 berdasarkan makluman dari syarikat penerbangan yang akan meningkatkan jumlah penerbangan mereka bagi memenuhi permintaan.

“Bagi mengurus situasi ini, Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad telah mengambil langkah segera untuk menguruskan kesesakan ini bagi memastikan keselesaan penumpang-penumpang lain di KLIA terjamin,” katanya di sini hari ini.

Antara tindakan yang telah dilaksanakan adalah menambah bilangan kaunter untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan; menambah bilangan pegawai imigresen untuk menguruskan ketibaan pekerja asing yang ramai; dan menguruskan kebajikan seperti menyediakan makan dan minum untuk pekerja asing yang berada di terminal.

Ruslin berkata, JIM akan terus memantau dan menambah baik situasi ini dan mengesa para majikan untuk memberikan kerjasama penuh dengan hadir segera bagi menyelesaikan proses pemeriksaan imigresen pekerja mereka yang seterusnya akan mengurangkan kesesakan di balai ketibaan. – MalaysiaGazette