Ahmad Jazlan Yaakub

SANDAKAN – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) giat melaksanakan program Jom Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (Jom MSPO) untuk meningkatkan penyertaan pihak industri, termasuk pekebun kecil persendirian untuk mendapatkan pensijilan itu.

Pengerusi MPOB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata ia bagi memastikan pengusaha sawit dapat melaksanakan penanaman sawit secara mampan mengikut Amalan Pertanian Baik, di samping meningkatkan pendapatan pengusaha sawit, termasuk pekebun kecil persendirian.

“Pengeluaran minyak sawit mampan penting untuk memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia iaitu negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia.

“Malaysia mengeksport minyak sawit kepada lebih 160 negara termasuk Eropah yang memberi keutamaan terhadap pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara mampan,” katanya pada program itu di Gum-Gum dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Jazlan, India dan China turut mula menekankan penggunaan minyak sawit mampan, sekali gus memberi peluang kepada industri minyak sawit negara yang mempunyai minyak sawit berkualiti.

Mengenai tanaman sawit di Sabah, beliau berkata tanaman komoditi itu melibatkan kawasan seluas 1.54 juta hektar meliputi 216,249 hektar kawasan yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian.

Menurutnya, keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian yang diberikan pensijilan MSPO di negeri itu berjumlah 95,676.05 hektar dengan penglibatan 15,091 pekebun kecil persendirian.

“Ini merangkumi kawasan tanaman sawit yang dipersijilkan di bawah 29 Kelompok Minyak Sawit Mampan yang ditubuhkan MPOB bagi penyertaan pekebun kecil persendirian secara berkelompok,” katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam aktiviti koperasi dan melaksanakan pengeluaran sawit mampan, Ahmad Jazlan berkata MPOB turut menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di seluruh negara.

Menurutnya, penyertaan pekebun kecil dalam KPSM membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahli.- BERNAMA