KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 24.7 peratus pada Julai 2020 kepada 41,801 tan metrik berbanding 33,531 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Manakala perbandingan antara tahun ke tahun pula menunjukkan penurunan sebanyak 30.4 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia berkata, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,386 tan metrik pada Julai 2020, meningkat sebanyak 17.6 peratus berbanding 38,587 tan metrik pada Jun 2020

Destinasi utama eksport getah asli adalah China iaitu 58.9 peratus daripada jumlah eksport pada Julai 2020 diikuti Jerman (6.0%), Finland (5.1%), Iran (3.9%) dan Taiwan (3.0%).

Menurutnya, sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport meningkat sebanyak 14.0 peratus dari RM2.78 billion pada Jun 2020 kepada RM3.17 billion pada Julai 2020.

Stok getah asli turut mencatatkan penurunan pada Julai 2020 sebanyak 7.4 peratus kepada 235,119 tan metrik berbanding 253,994 tan metrik pada Jun 2020.

”Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan penurunan kepada 467.20 sen sekilogram berbanding Jun 2020 (479.90 sen sekilogram). Sebaliknya, Getah Mutu Malaysia 20 meningkat kepada 497.86 sen sekilogram berbanding 484.33 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.

Menurutnya, penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Julai 2020 ialah 46,844 tan metrik, meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding bulan sebelumnya. Industri pembuatan sarung tangan getah merupakan industri utama dengan penggunaan sebanyak 36,024 tan metrik atau
76.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette