Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Pembangunan Asia (ADB) mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 6.5% pada tahun depan.

Namun, bank itu menurunkan kadar pertumbuhan pada tahun ini kepada -5% berbanding -4% sebelum ini.

Malaysia mencatatkan penguncupan sebanyak 8.3% tahun ke tahun pada separuh pertama tahun ini, berbanding pertumbuhan 4.7% pada tempoh sama tahun lalu.

Ekonomi Malaysia berkembang 0.7% pada suku pertama tetapi menguncup 17.1% pada suku kedua.

Dalam Tinjauan ADB 2020 yang diterbitkan pada hari ini, bank itu berkata, ekonomi akan terus menguncup disebabkan kesan kepada perbelanjaan, pelaburan dan eksport.

“Usaaha-usaha yang dijalankan untuk mengekang penularan telah mengakibatkan kawalan pengembaraan dan aktiviti perniagaan, secara tidak langsung menjejaskan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Meskipun begitu, pelan rangsangan ekonomi dan sokongan kecairan sebanyak 20% daripada KDNK diunjur akan merangsang semula permintaan domestik.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM295 bilion dalam dalam pakej ransangan ekonomi.

ADB berkata, persekitaran pasaran yang lemah akibat pembuangan pekerja dan pengurangan gaji akibat impak daripada Covid-19 telah menjejaskan perbelanjaan pengguna. – MalaysiaGazette