Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan tiga hari bermula 26 Oktober depan untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan sebuah syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berhubung isu tanah Felda.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Shahrir selaku defendan memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 26, 27 dan 28 Oktober selepas pengurusan kes itu di hadapan Hakim Wong Chee Lin.

“Empat atau lima saksi dari pihak plaintif dan defendan akan memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu,” katanya.

Menurut Ranjit, mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan pada 26 dan 27 Mac lepas, namun ditangguhkan kerana ketika itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada 4 Jun 2018, Synergy Promenade selaku plaintif menyaman Shahrir, yang ketika itu Pengerusi Felda atas dakwaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Berdasarkan penyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu menyebabkan reputasi mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek yang sedang diusahakan.

Syarikat itu menuntut satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan itu serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang sesuai. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast