ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Tindakan seorang individu yang berkelakuan lucah dan tidak senonoh kepada jiran wanita membawa padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menahan suspek berusia 33 tahun itu sekitar jam 8.30 malam semalam.

Pada pukul 10.30 pagi semalam polis telah menerima laporan seorang waita warga tempatan menyatakan  terdapat seorang lelaki warga tempatan yang berada di kawasan halaman rumahnya  telah menujukkan alat kemaluan kepadanya.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan lucah itu ketika pengadu melalui hadapan rumah lelaki itu. Bertindak atas maklumat, polis sekitar jam 8.30 malam hari sama kejadian telah ke sebuah rumah yang terletak di Taman Datuk Hormat dan menahan suspek lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu yang merupakan jiran mangsa.

“Suspek telah direman selama sehari untuk disiasat bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana telah melakukan  perbuatan kelucahan  melampau terhadap pengadu,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh maksimum dua tahun.

Dalam satu lagi kejayaan berasingan, polis turut berjaya menahan seorang wanita tempatan dan menyelamatkan seorang remaja lelaki warga asing berusia 17 tahun yang disyaki dijadikan mangsa pemerdagangan yang mana dieksploitasi sebagai tukang urut.

Insiden itu terbongkar menerusi serbuan ke atas satu pusat kecantikan dan kesihatan sekitar 4.30 petang pada 1 September lalu di Damansara Utama.

Hasilnya seorang wanita tempatan disyaki penjaga premis berusia 38 tahun ditahan.

Pemeriksaan lanjut polis menemui seorang lelaki dan empat wanita warga asing berumur lingkungan 20 hingga 41 tahun yang mengakui bekerja sebagai tukang urut dengan gaji RM1,500 sebulan.

“Dalam serbuan itu, remaja lelaki warga asing berusia 17 tahun berjaya diselamatkan kerana dieksploitasi  sebagai tukang urut.

“Malah susulan operasi itu, polis cawangan D7 Petaling Jaya menyerbu sebuah rumah di kawasan Tropiciana Garden sekitar 12.25 pagi sebelum berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 42 tahun merupakan pemilik pusat kecantikan dan kesihatan itu atas kesalahan mengeksploitasi mangsa dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah,” katanya.

Menurutnya, wanita itu direman sehari dan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan penyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 55B Akat Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b)Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manaka lima suspek wanita warga asing yang ditahan di pusat urut sebagai pekerja itu dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya  pagi hari ini atas Kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963,” kata Nik Ezanee.

Justeru katanya remaja lelaki yang diselamatkan polis dilindungi bawah Perintah Perlindungan Interim dan kini ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.