Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa (tiga kiri) Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Malleh (dua kanan), Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (dua kiri), Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor (kanan) serta yang lain menunjukkan risalah Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah pada majlis perasmiannya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Magellan Sutera Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Pembangunan infrastruktur, pemulihan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan transformasi perkhidmatan awam antara sembilan teras Aku Janji atau manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

GRS terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan komponennya, Perikatan Nasional (PN) turut menawarkan  aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat melalui naik taraf fasilitasi, pembangunan modal insan, keselamatan dan menumpukan pembangunan golongan belia.

Manakala teras terakhir adalah pembangunan wanita.

Mengulas lanjut, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, luar biasanya semua tawaran gabungan itu adalah hala tuju pemulihan ekonomi negeri selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Tambah beliau, semua aku janji gabungan berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya satu penggal untuk dilaksanakan.

“Inilah yang kita tawarkan kepada rakyat Sabah berasaskan hak-hak negeri Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita berharap dengan Aku Janji yang kami buat ini kami amat yakin rakyat akan membantu mengundi kami,” katanya ketika sidang media selepas Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah di The Magellan Sutera Harbour hari ini.

Dari aspek teras ekonomi, GRS ingin menjadikan Pelabuhan Sepanggar sebagai hab pemindahan muatan transhipment untuk melonjakkan industri logistik Sabah.

Demi menyokong industri tempatan, GRS juga mewujudkan kawasan zon perdagangan bebas di kawasan strategik.

Selain itu GRS akan mempercepatkan pembinaan jalan yang menghubungkan Kalabakan dan Serudong bagi memacu pertumbuhan ekonomi kawasan sempada. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast