Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman Shafie Apdal appeal
Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengingatkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar menghentikan fitnah terhadap dirinya.

Menurut Musa, Presiden Warisan itu sepatutnya tidak menghalakan serangan terhadapnya berhubung kelulusan kontrak Yayasan Sabah untuk mengurus dan membangunkan tanah yayasan itu.

Ini kerana katanya, beliau bukanlah calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya memahami perlunya beliau membuat ucapan politik yang berapi-api sepanjang berkempen, namun memalukan bagi seorang pemimpin negeri berulang kali menyebarkan pembohongan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang individu yang bercita-cita menjadi perdana menteri.

“Kebelakangan ini, beliau membuat pelbagai fitnah termasuk menuduh saya meluluskan kontrak Yayasan Sabah kepada beberapa individu tertentu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan fitnah ini adalah percubaan memburukkan reputasi saya dan sekadar memenuhi agenda jahat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Musa berkata, Mohd Shafie perlu ingat bahawa sebelum ini beliau sudah memfailkan saman RM1 bilion terhadap Yayasan Sabah termasuk diri beliau kerana memfitnahnya.

“Saya berasa terpanggil membuat kenyataan ini untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama saya daripada tuduhan dilemparkan oleh presiden Warisan.

“Awalnya, Shafie menuduh saya terbabit dengan kehilangan tanah seluas antara 600,000 hingga 700,000 hektar milik Yayasan Sabah dan kononnya saya meluluskan ribuan ekar tanah kepada beberapa individu tertentu.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Shafie sepatutnya tahu konsesi kawasan tanah yang dipegang Yayasan Sabah berada bawah 1 lesen dan mustahil bagi kawasan seluas itu hilang atau diberi kepada mana-mana pihak,” ujarnya.

Musa menjelaskan, tanah bawah Yayasan Sabah dilindungi oleh Enakmen Yayasan Sabah 1966 dan hak kekal, ia hanya boleh dikeluarkan untuk kegunaan kerajaan dan bagi tujuan konservasi seperti Lembah Danum, Imbak Canyon, Maliau Basin, Hutan Simpan Nurod-Urod, Sapulot.

“Shafie mungkin sengaja berlagak tidak tahu atau mengelirukan rakyat dengan fakta ini, sekurang-kurangnya 700,000 hektar tanah Yayasan Sabah dikategori bawah Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA). Ia termasuk Tabin, Imbak, Maliau, Kretam, Danum, Kulamba, Tinker, Pesisir Silam, Kuamut dan sebagainya.

“Hanya 250,000 hektar tanah Yayasan Sabah dilesenkan bawah Peraturan Hutan.

“Justeru, jelaslah Shafie berbohong kerana 700,000 hektar tanah Yayasan Sabah masih wujud dan tidak hilang seperti didakwa,” tambahnya.

Menurut Musa lagi, walaupun individu terbabit secara terbuka menafikan tuduhan itu dan dilaporkan secara meluas oleh media, Shafie terus menyebarkan fitnah.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

“Tidak berpuas hati dan berkeras mahu meneruskan misinya untuk memburukkan nama saya, Shafie kini menuduh saya meluluskan kontrak lesen Yayasan Sabah untuk mengurus dan membangunkan tanah Yayasan Sabah kepada individu sama.

“Nasihat saya kepada Shafie, daripada terlalu memberi fokus kepada saya, dia sepatutnya memberitahu rakyat mengapa Warisan perlu menerajui Sabah dan mengapa dia patut dipilih untuk mengetuai kerajaan.

“Sebagai pemimpin, anda harus fokus kepada apa yang sudah dicapai dan apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Shafie dalam siri kempen mendakwa pihaknya mempunyai bukti perbuatan Musa dalam dakwaan itu dan turut mengaitkan adik Musa iaitu Datuk Seri Anifah Aman.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Musa kaya raya sudah baaa…adik beradik sedara mara pun sudah kaya. masih tamak mau lagi kahhh. Bila mao sedar diri,,,kubor sudah panggil mari bahh

Comments are closed.