Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan syarikat akan diheret ke mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok kerana menyebabkan seorang kakitangan di syarikatnya dipecat dari kerja hanya kerana memberikan maklumat mengenai salahlakunya.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah mendapat keizinan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh individu itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 September ini.

Tertuduh akan menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 10 (3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) kerana telah menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM berkaitan salah laku yang dilakukan tertuduh.

“Pertuduhan di bawah Seksyen tersebut merupakan yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuatkuasa pada 2010.

“SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi makumat itu sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan pihak tertentu,” kata SPRM dalam kenyataan tersebut.

Tambah agensi antirasuah itu, peruntukan undang-undang menggalakan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain di samping memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang memudaratkan.

“Oleh demikian tidak teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat.

“SPRM berharap agar pertuduhan berkaitan kes ini dapat memberi isyarat jelas kepada masyarakat agar tidak gentar memberi kerjasama kepada agensi penguatkuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“Pertuduhan berkaitan kes ini juga diharap dapat memberikan pengajaran kepada pihak yang cuba mengenakan tindakan ke atas pemberi maklumat selepas ini,” tegas agensi tersebut.-MalaysiaGazette