Gambar hiasan

SUDAH makin ramai yang berbasikal sekarang ya? Daripada artis hinggalah ahli politik,
masing-masing takkan terlepas dari memuatnaik gambar dan video sedang
berbasikal. Persoalannya, berbasikal ini sudah jadi satu budaya bersukan atau
masih di tahap ‘trend’ bermusim?

Bukan setakat santai-santai saja aktiviti berbasikal ini dilakukan, ramai juga yang
agak ‘ekstrim’ walaupun dengan alasan mengisi masa lapang. Ada yang dari
Rawang sanggup kayuh dan layan ‘korner’ hingga ke Bukit Fraser, Pahang. Ada
yang sanggup mengayuh dari Putrjaya hingga ke Tanjung Malim, Perak. Berpuluh
kilometer setiap minggu.

Kalau sekadar santai-santai, cukup saja kayuh mengelilinggi Tasik Titiwangsa atau
Tasik Putrajaya. Selepas habis kayuh di tasik, berhenti pekena roti jala dengan kopi
panas.

Ini tandanya rakyat Malaysia sekarang menganggap berbasikal ini sebagai satu
‘norma baharu’ yang melengkapi antara ‘trend’ dan bersukan atau beriadah. Maka
tak hairanlah di sana sini makin banyak kedai menjual dan membaiki basikal di buka.
Walhal, kedai ini lazimnya hanya wujud di pekan-pekan kecil atau kampung. Mana
tidaknya, sebelum ini basikal hanya digunakan oleh mereka yang kurang
berkemampuan, khususnya di kampung.

Kecuali mereka yang benar-benar berada dalam dunia sukan berbasikal atau hobi
berbasikal sejak awal lagi. Mereka ini yang selalunya berada di bandar-bandar besar
dan sudah menjadi pelanggan tetap kepada kedai-kedai basikal berjenama yang
berada di sekitar kota raya.

Apabila Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia atau MIROS cuba
melontarkan cadangan untuk setiap basikal mempunyai lesen dan nombor plat
sendiri, ramai yang bangun melenting. Kebanyakannya lahir dari golongan massa
yang memang berbasikal setiap minggu, dan ada juga yang hanya sekadar ‘acah-
acah’ minat berbasikal.

Namun cadangan ini juga turut memanggil minat pakar untuk memberi komen lanjut.
Sebagai contoh, pakar keselamatan jalan raya, Prof. Dr. Law Teik Hua

mempertikaikan cadangan ini kerana jumlah basikal di negara ini terlalu banyak.
Takkan setiap satu basikal di negara ini perlu diletak nombor plat?

Tambahan lagi, basikal ini bukanlah kenderaan utama yang digunakan oleh rakyat
kita. Hanya sekali sekala saja digunakan untuk tujuan riadah, mengisi masa lapang,
bersukan dan mengikut ‘trend’. Selalunya, yang menjadi viral atau ramai-ramai
berbasikal di sana sini itu adalah golongan yang sekadar menurut ‘trend’ semasa.
Apabila habis musim ‘trend’ ini nanti, maka hilanglah yang ramai-ramai berbasikal di
jalan raya hari ini. Tinggal mereka yang benar-benar menjadikan ia hobi dan atlit
dalam bidang basikal sahaja.

Takkanlah pihak kerajaan perlu mengubal undang-undang setiap kali rakyat
mengikut ‘trend’ semasa? Sebab kita perlu ingat, sesuatu yang bersifat ‘trend’ ini
hanya sementara. Ia akan pergi bak bayu ditiup angin.

Apa yang peminat basikal perlu lakukan pada masa ini adalah mematuhi SOP dan
Norma Baharu untuk kita melawan pandemik Covid-19. Walaupun seronok melayan
‘korner’ dengan kawan-kawan, jangan di lupa pesan Menteri Kesihatan Datuk Seri
Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Selain itu, kita semua dah besar panjang, boleh tahu maksud papan-papan tanda di
jalan raya. Sudah tahu bahaya dan risiko ketika berada di jalan, jadi ‘lu fikirlah
sendiri…’.

Untuk golongan yang menjadi figura pulak perlu mainkan peranan yang baik. Datuk
Seri Siti Nurhaliza, Zizan Razak, Alif Satar, Sazzy Falak, Yasmin Hani, Nabila
Razali, Bella Daly, Hanez Suraya, Hawa Rizwana, Janna Nick dan ramai lagi,
masing-masing perlu sentiasa jaga SOP, Norma Baharu, etika kebersihan, patuhi
undang-undang jalan raya dan kesopanan dan kesusilaan.

Ahli-ahli politik yang juga terjebak dengan aktiviti berbasikal juga jangan lupa diri.
Jangan bersikap egois dan ‘poyo’ hingga membuatkan rakyat benci. Seperti biasa,
ahli-ahli politik ini juga perlu menjadi contoh baik, bukan penggalak untuk rakyat
meniru perbuatan salah. Antara ahli politik yang penulis ternampak di media sosial
mereka berbasikal adalah bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed, Menteri
Kabinet Datuk Seri Azmin Ali, Khairy Jamaluddin, dan ADUN Young Syefura
Othman.

Jadinya, cadangan untuk menguatkuasakan nombor plat dan lesen ke atas semua
basikal dalam negara perlu dikaji lagi. Bukan kita tidak mahu menjaga keselamatan
rakyat, namun jika aktiviti berbasikal ini lebih banyak bersifat ikut-ikutan ‘trend’, maka

lama kelamaan ia akan hilang juga. Akan sampai satu masa yang kita sukar dah nak
lihat rakyat kita berbasikal. Yang ada hanya geng atlit basikal saja sedang buat
latihan.

Budiman Zam Zam
Putrajaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast