Najib Tun Razak

KOTA KINABALU – Selepas Semenanjung menolak Pakatan Harapan berdasarkan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), kini sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah mengikut jejak langkah itu.

Bekas Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pengundi negeri itu perlu membuat perubahan besar kali ini setelah Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal menunaikan apa yang dijanjikan sebelum mendapatkan negeri itu.

“Di Semenanjung orang dah tolak Pakatan Harapan, di sini jangan silap orang Sabah jangan kena tipu dua kali. Sekali boleh, dua kali palui (bodoh) la kau. Tak boleh orang Sabah cerdik, orang Sabah dah faham Warisan (Parti Warisan Sabah) janji macam-macam tapi tidak buat apa-apa.

“Janji royalti minyak, berapa yang dapat, mana dia? Janji Ketua Menteri tidak boleh jadi Menteri Kewangan tapi jadi bila jadi Ketua Menteri dia pun jadi Menteri Kewangan Sabah,” katanya pada Program Ceramah bersama Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung, Mohd Reduan Aklee.

Sekiranya rakyat Sabah telah menyedari kesilapan memilih pemerintah pada pilihan raya yang lalu dan ingin membuat perubahan pada kali ini, maka tambah Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu, pengundi perlu sepakat untuk mengundi BN agar tidak berlaku perpecahan undi.

“Kalau nak alih kerajaan kena undi BN kalau undi berpecah undi LDP (Parti Demokratik Liberal) sikit, Warisan, PCS (Parti Cinta Sabah) dan sebagainya undi berpecah tidak boleh, jangan buat silap hari itu. BN di Semenanjung silap kita berpecah sebab itu undi berpecah dan kita kalah,” kata bekas Pengerusi BN itu lagi. -MalaysiaGazette